Skip to main
Logo Malaysiakini

PM arah polis jangan sekat media buat liputan

Artikel ini sudah 22 hari diterbitkan

Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini mengarahkan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya tidak menyekat mana-mana organisasi media dalam membuat liputan, seperti mana wartawan Malaysiakini yang dihalang daripada menghadiri satu majlis polis semalam.

"Saya akan hubungi PDRM segera supaya tak ada sekatan kepada media, seperti berlaku kepada Malaysiakini," katanya kepada pemberita selepas menghadiri satu acara di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Semalam, Malaysiakini dilarang membuat liputan di sebuah acara polis di Kuala Lumpur yang sepatutnya turut dihadiri Ketua Polis Negara, Razarudin Husain.

Acara “PDRM Special Dialogue II” bermula dengan perbincangan tertutup antara Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman dan pemegang taruh, antaranya agensi penguatkuasaan undang-undang lain bawah Kementerian Dalam Negeri dan juga Kementerian Kewangan.

Larangan itu walaupun setelah Malaysiakini menerima undangan menerusi e-mel daripada Bukit Aman, dengan portal ini membalas undangan pada hari sama serta memaklumkan bahawa dua wartawan ditugaskan untuk ke acara itu.

Menurut pegawai itu, proses saringan dibuat dan mereka yang menerima e-mel undangan kedua pada 21 Ogos sahaja dibenarkan membuat liputan.

Wartawan Malaysiakini bagaimanapun dibenarkan masuk kemudian untuk membuat liputan sidang media melibatkan Saifuddin, Timbalan Ketua Polis Negara Ayob Khan Mydin Pitchay dan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Ruji Ubi.

Terdahulu, beberapa kumpulan media, hak asasi dan ahli parlimen membidas tindakan polis menghalang wartawan Malaysiakini daripada membuat liputan dalam salah satu acara mereka.

“Dikatakan arahan ini datang dari atas. Siapa yang di atas tu?” soal jurucakap Gerakan Media Merdeka (Geramm).