Skip to main
Logo Malaysiakini

Tajuddin hadir PAU2024 untuk lepaskan rindu

Artikel ini sudah 22 hari diterbitkan

Meskipun digantung keahlian, bekas ahli majlis kerja tertinggi (MKT) Umno, Tajuddin Abdul Rahman tetap hadir ke Perhimpunan Agung Umno 2024 (PAU2024) bagi melepaskan rindu.

Tajuddin berkata, kehadirannya menjadi bukti bahawa dia masih sayangkan parti itu dan berharap Umno akan bangkit semula.

"Datang tengok-tengok melepaskan rindu kepada Umno. Saya masih (anggap diri ahli) Umno lagi walaupun kena gantung, masih ahli, jadi, sebagai ahli masih sayangkan parti mudah-mudahan parti kita akan bangkit semula, harapannya begitulah," katanya ketika ditemui di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di Kuala Lumpur, hari ini.

Pada Jun 2022, Tajuddin yang juga bekas timbalan menteri pertanian digugurkan keahliannya menerusi satu surat yang dihantar oleh presiden parti.

Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi yang memberi maklum balas kepada media selepas itu memaklumkan Tajuddin dipecat kerana mengkritik parti menerusi kenyataan, ucapan dan ceramah dalam mesyuarat-mesyuarat tertutup yang dihadirinya.

Tajuddin juga telah beberapa kali menghantar surat rayuan kepada Umno supaya penggantungan keahliannya ditarik balik, namun tiada jawapan.

Ditanya sama ada kehadirannya ke persidangan Umno untuk bertemu Ahmad Zahid, Tajuddin berkata dia tidak mahu menganggu timbalan perdana menteri itu.

"Kalau jemput saya, saya datanglah, kalau pergi (sendiri) menganggu pula," katanya lagi.