Skip to main
Logo Malaysiakini

Perwakilan T’ganu: Pembebasan Najib akan beri manfaat pada BN, PH

Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

PAU 2024 | Pembebasan bekas presiden Umno Najib Razak akan memberi kelebihan kepada PH dan kerajaan perpaduan, menurut seorang perwakilan dari Terengganu hari ini.

Bercakap dengan Malaysiakini, Timbalan Ketua Umno Setiu Mohd Iskandar Jaafar berkata ketika menjadi perdana menteri, Najib telah meninggalkan kesan positif kepada kehidupan rakyat.

“Contohnya insentif tunai terus kepada rakyat iaitu BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia). Apa yang Najib buat tinggalkan kesan kepada rakyat, bagaimana dia uruskan keperluan rakyat secara terus.

“Saya yakin kalau Najib keluar (dari penjara), dia dapat bagi buah fikiran yang bernas. Mungkin kerajaan Madani juga dapat manfaat.

“Ia dapat jadi tambahan sokongan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim. Ini satu nilai tambah dalam dinamik perkongsian politik ini,” kata Iskandar.

Iskandar juga berkata Najib ada karisma untuk menarik sokongan pengundi Melayu dan pengundi atas pagar.

“Kami dalam Umno faham Najib tak ada cita-cita untuk aktif dalam politik (lagi). Kami tahu ini.

“Dia dalam Umno dan Umno dalam kerajaan perpaduan. Pengundi yang tak sokong mana-mana parti juga masih hormat Najib,” katanya lagi.

‘Najib pemangkin kebangkitan semula BN’

Terdahulu, Iskandar mengulang semula seruan agar Najib dibebaskan ketika sesi perbahasan ucapan dasar presiden Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2024 hari ini.

“Bebaskan Najib. Masanya sudah tiba untuk usaha yang bersungguh-sungguh mengikut lunas undang-undang dalam Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.

“(Kita) tidak mengenepikan kuasa Yang di-Pertuan Agong dan konsep federalisme berkenaan pengasingan kuasa legislatif, eksekutif dan kehakiman.

“Najib akan jadi pemangkin kebangkitan BN dan PH pun akan dapat manfaat,” katanya.

Najib kini sedang menjalani hukuman penjara selepas disabit bersalah dalam kes rasuah RM42 juta SRC International pada Ogos 2022.

Dia juga sedang dibicarakan dalam pertuduhan lain melibatkan skandal 1MDB.