Skip to main
Logo Malaysiakini

Zahid sendiri akan bawa rayuan Tajuddin ke MT Umno

Artikel ini sudah 21 hari diterbitkan

Di sebalik konflik terbuka yang pernah berlaku sebelum ini, hubungan Tajuddin Abdul Rahman dengan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi nampaknya mula pulih.

Selain beberapa gambar menunjukkan kemesraan kedua-duanya mereka - termasuk aksi berpelukan - Ahmad Zahid hari ini menyatakan bahawa dia akan mempertimbangkan rayuan bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno terhadap penggantungan keahliannya selama enam tahun.

"Saya akan membawa (rayuan Tajuddin) ke mesyuarat jawatankuasa pengurusan parti dan juga majlis tertinggi (MT) untuk keputusan," katanya pada sidang media di Kuala Lumpur petang ini.

Ia diadakan ketika Umno mengadakan perhimpunan agung tahunannya yang bermula sejak Rabu.

Terdahulu Ahmad Zahid diminta mengulas mengenai pertemuannya dengan Tajuddin semalam. Melalui gambar yang tular kedua-dua mereka kelihatan berbual mesra sebelum berpelukan antara satu sama lain.

Menurut sumber yang rapat dengan pejabat Ahmad Zahid, timbalan perdana menteri itu bertemu dengan Tajuddin selepas melihat bekas Ahli Parlimen Pasir Salak berdiri di luar Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, yang menjadi lokasi Umno bersidang.

Tajuddin tidak dapat memasuki dewan perhimpunan kerana keahliannya digantung namun tetap hadir kerana "rindu" kepada Umno.

Hubungan di antara Ahmad Zahid dan Tajuddin menegang selepas kedua-dua mereka bertentangan pandangan seawal 2021 termasuk apabila dia menongkah arus dengan tidak bersetuju menarik sokongan daripada Muhyiddin Yassin selaku perdana menteri.

Dia digantung keahlian oleh Umno selama enam tahun mulai Jun 2022.

Untuk rekod MT Umno terdiri daripada presiden, timbalan, ketiga-tiga naib presiden, semua tiga ketua sayap, setiausaha agung, bendahari agung dan ketua penerangan.

Sementara itu, mengulas mengenai PRK yang bakal diadakan di DUN Mahkota, Johor bulan depan, Ahmad Zahid berkata parti dalam kerajaan perpaduan akan menggunakan pendekatan hibrid dalam kempen mereka.

Ia ternyata pendekatan berbeza berbanding apa digunakan Umno dalam PRK Nenggiri di Kelantan baru-baru ini. Ketika itu parti DAP tidak dilibatkan langsung dalam aktiviti kempen.

Di Mahkota, menurut Ahmad Zahid, DAP akan membantu Umno berkempen dalam kalangan segmen tertentu pengundi Cina.

“Oleh kerana kira-kira 35 peratus daripada 66,000 pengundi di Mahkota terdiri daripada masyarakat Cina, kali ini kita akan manfaatkan semua pihak dalam kerajaan perpaduan dalam menggerakkan jentera Umno.

“Untuk itu, segmen tertentu akan ditugaskan kepada DAP manakala sebahagian lagi untuk MCA (berkempen).

“Terdapat juga kira-kira 8,000 pengundi India di sana, dan untuk ini kami akan meminta MIC menggerakkan pasukannya bersama-sama ahli dan pemimpin PKR India.

“Kita benar-benar menggunakan pendekatan hibrid untuk PRK Mahkota ini,” katanya.

[Baca berita asal]