Skip to main
Logo Malaysiakini

Jangan buat orang Melayu meluat dengan Umno, kata Tok Mat

Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

PAU 2024 | Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan menyifatkan sekarang adalah masa terbaik untuk parti itu merealisasikan kebangkitan kembali.

Katanya, orang Melayu kini mahu kembali kepada Umno, namun terpulang kepada pendekatan parti itu bagaimana untuk menggamit mereka.

"Kalau Umno serius nak bangun (bangkit) inilah masanya untuk bangun," kata Mohamad ketika menyampaikan ucapan penggulungan di Perhimpunan Agung Umno 2024 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, Umno boleh kembali kuat jika pandai mengambil hati orang Melayu.

Namun, dia mengingatkan parti itu agar jangan sesekali membuatkan orang Melayu meluat dengan menghantar mesej yang salah kepada mereka.

"Tak susah tambat hati orang Melayu, kalau dia suka ,dia suka..kalau dia meluat susah kita.

"Orang melihat kita kembali, orang Melayu nak kembali kepada kita, (tapi) terpulang kepada kita untuk menggamit mereka kembali, tepulang kepada, kita (dan) kita perlu hantar mesej yang baik," katanya lagi.

‘Dah naik pelamin, jangan tak turun’

Sementara itu, Mohamad yang juga ahli Parlimen Rembau mengingatkan wakil rakyat Umno supaya menjaga amanah rakyat dengan baik.

Dengan memetik peribahasa Melayu "naik jinjang jangan tak turun", Mohamad berkata orang Melayu seronok jika wakil rakyat sentiasa bertemu mereka.

Secara berseloroh Mohamad juga mengingkakan calon BN yang telah memenangi Pilihan Raya Kecil DUN Nenggiri, Mohamad Azmawi Fikri Abdul Ghani agar menjaga kawasannya.

"Awie (Mohd Azmawi ) dan juga ahli Parlimen dan ahli dewan undangan negeri, bila dah menang jaga kawasan, jinjang dinaiki tangga dituruni.

"Dah naik pelamin jangan tak turun, bila dah kahwin syok (tapi) orang urus perkahwinan kita penat...turun jumpa orang yang urus perkahwinan (rakyat)," katanya lagi.