Skip to main
Logo Malaysiakini

Umno cari pendekatan tangani isu jenayah, masalah sosial - Zahid

Artikel ini sudah 21 hari diterbitkan

PAU 2024 | Umno akan mencari pendekatan bagi menangani masalah jenayah dan kebejatan sosial yang semakin membimbangkan, kata presidennya, Ahmad Zahid Hamidi.

Dalam ucapan penggulungan di Perhimpunan Agung Umno 2024 hari ini, Ahmad Zahid melahirkan kebimbangan terhadap kadar jenayah yang semakin meningkat.

"Kebelakangan ini saban hari, kita mendengar kes pembunuhan yang kejam dan tidak pernah terfikir oleh kita berlaku sangat berleluasa.

"Kalau dahulu anak hilang, mak ayah akan cari di rumah. Tapi hari ini kalau anak hilang, mak ayah ternanti-nanti di mana mayat anak akan ditemui. Ini antara kebejatan sosial yang semakin membimbangkan.

“Untuk itu kita mesti tampil dengan pendekatan baru dan menyantuni masyarakat dan melaksanakan program yang mahu orang Melayu, rakyat kembali melihat Umno sebagai sebuah parti yang tampil mencari penyelesaian,” katanya ketika berucap di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur.

Dalam pada itu Ahmad Zahid yang juga timbalan perdana menteri mengucapkan penghargaan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang sentiasa berusaha mengurangkan kadar jenayah.

Tangani jenayah buli siber

Namun katanya usaha itu perlu dipertingkatkan termasuk dalam menangani jenayah buli siber.

Ahmad Zahid turut merujuk kes buli membabitkan Rajeswary Apphu yang menyebabkan pempengaruh media sosial itu membunuh diri serta pembunuhan pelajar Universiti Pertahanan Nasional (UPNM), Zulfarhan Osman Zulkarnain.

“Data daripada SKKM hingga 10 Julai lalu, secara purata berlaku 10 kes buli siber setiap hari.

“Begitu juga kes buli fizikal di sekolah dan pusat pengajian tinggi,” katanya.

Selain itu, Ahmad Zahid berkata isu melibatkan seks luar nikah atau bawah umur, penyalahgunaan dadah dan alkohol juga membimbangkan.

"Perceraian umur muda juga semakin meningkat.

"Keganasan rumah tangga dan seksual kerap dilaporkan. Begitu juga kita sering terbaca kisah ibu bapa yang terabai dan tinggal tanpa anak-anak bersama mereka,” katanya.

Justeru Ahmad Zahid berkata Wanita, Pemuda dan Puteri Umno harus mengorak langkah untuk tampil dengan usaha dan program bagi mendepani isu-isu kebejatan sosial.

"Dalam isu cyber bully dan buli fizikal umpamanya – Pemuda, Puteri dan Siswa Umno perlu menjalankan kempen dan menjuarai isu ini.

"Dalam isu perceraian umur muda, ibu bapa yang ditinggalkan – Wanita melalui Skuad Sayang (harus) dekati mereka dengan bimbingan,” katanya.