Skip to main
Logo Malaysiakini

'Orang Umno belum pernah berguling atas jalan pegang bendera DAP'

Artikel ini sudah 21 hari diterbitkan

PAU 2024 | Naib Presiden Umno Wan Rosdy Wan Ismail hari ini menyindir PAS kerana mengkritik kerjasama parti itu dengan DAP.

Namun, katanya, sekurang-kurangnya parti itu tidak pernah sampai ke tahap ‘mengangkat bendera DAP’ dan berguling atas jalan raya.

"Setiap hari, PAS asyik meratib UMDAP, UMDAP, UMDAP, tetapi kita kena ingat, orang Umno belum pernah berguling atas jalan sambil pegang bendera DAP," kata Wan Rosdy dalam ucapan penggulungan di Perhimpunan Agung Umno 2024 hari ini.

UMDAP ialah gelaran yang diberikan penyokong pembangkang terutama PAS kepada Umno sebagai kritikan terhadap keputusan parti itu membentuk kerajaan bersama Pakatan Harapan, termasuk DAP yang pernah menjadi musuh ketatnya.

Tambah Wan Rosdy, yang juga Menteri Besar Pahang, PAS mempergunakan agama untuk menghasut rakyat terutama golongan muda.

"PAS boleh jadi apa sahaja kerana politik. Mereka boleh jadi penyu hijau macam yang dipaparkan semasa Ucapan Dasar Presiden. Agama digunakan hanya untuk menghasut rakyat terutamanya anak-anak muda.

"Maki hamun, carutan, caci maki, fitnah dan pembohongan dinormalisasikan melalui kempen-kempen mereka.

"Strategi yang digunakan ini merosakkan cara pemikiran generasi muda Melayu, dan generasi ini akan mewarisi negara yang tercinta pada suatu hari nanti.

"Maka, menjadi tanggungjawab kita untuk memperbetulkan keadaan ini,” katanya.

Bukan gagal, cuma belum berjaya bebaskan Najib

Sementara itu, dalam ucapannya, Wan Rosdy turut menyentuh usaha Umno untuk membebaskan bekas Perdana Menteri Najib Razak yang kini dipenjarakan.

Menurut naib presiden Umno itu, parti itu tidak akan pernah berhenti memperjuangkan pembebasan Najib.

"Dalam isu ini, kita bukan gagal, cuma kita sebenarnya masih belum berjaya.

"Lembaga Pengampunan memutuskan hukuman Bossku dikurangkan, namun apa yang menjadi persoalan, wujudnya Titah Adendum, agar baki hukuman Bossku dijalankan di rumah.

"Ini tidak berlaku dan menimbulkan tanda tanya, sama ada titah ini wujud atau tidak.

Menurut Wan Rosdy, Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi telah mengeluarkan affidavit yang mengesahkan dia telah melihat sendiri titah tersebut.

"Saya juga mengeluarkan affidavit bahawa saya mengetahui kewujudan titah itu.

"Masakan Datuk Seri Presiden selaku Timbalan Perdana Menteri kepada Kerajaan Yang di-Pertuan Agong ketika itu, dan saya Menteri Besar Pahang kepada Kerajaan Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, hendak bermain sandiwara atau berdrama tentang perkara ini.

"Mana boleh tuan-tuan. Bukannya kecil risiko yang kami ambil dalam situasi ini," katanya.