Isteri Daim cabar taksiran cukai LHDN RM313 juta
Isteri bekas menteri kewangan Daim Zainuddin telah membawa kes ke mahkamah untuk membatalkan penilaian pihak berkuasa bahawa dia berhutang lebih RM313 juta kepada pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Dalam permohonan semakan kehakiman, Na’imah Abdul Khalid mendakwa taksiran Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk tahun 2018 adalah salah dan tidak berasas, dengan penambahan RM700 juta dalam pendapatan yang didakwa tidak diisytiharkan.
Pemohon mendakwa notis penilaian yang dikeluarkan oleh responden pada 13 Ogos tahun ini hanya berdasarkan tuduhan tidak berasas dan audit yang dijalankan kelihatan berniat jahat.
"Taksiran-taksiran tersebut telah secara arbitrari mewujudkan liabiliti cukai yang besar berjumlah RM313,820,336.13 sedangkan pada asalnya, tindakan responden dalam mengeluarkan taksiran yang dipertikaikan itu adalah haram.
"Jumlah cukai dalam taksiran tersebut dikenakan ke atas saya secara salah dan jumlah tersebut adalah besar serta membebankan.
“Ia adalah tidak munasabah untuk mengharapnkan seorang individu untuk mendapatkan jumlah yang besar dengan segera dalam tempoh 30 hari," hujah Na’imah dalam afidavitnya yang difailkan di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 19 Ogos.
Wanita berusia 66 tahun itu juga mendakwa bahawa LHDN juga gagal membayar balik RM3.807 bilion dalam bayaran balik cukai yang terhutang kepadanya untuk tahun-tahun taksiran 2017 dan sebelumnya.
“Mahkamah yang mulia ini perlu mempertimbangkan kemungkinan taksiran yang dikeluarkan secara arbitrari atau taksiran salah yang dikeluarkan oleh pegawai-pegawai yang berkemungkinan bersilap (fallible) yang perlu memenuhi sasaran kutipan jumlah cukai yang telah diisytiharkan secara awam dan sebagai akibatnya, taksiran yang dibangktkan mungkin akan dipengaruhi oleh sasaran yang perlu dicapai dan bukannya sama ada taksiran tersebut adalah betul," hujah Na’imah lagi.
Tindakan sivil ini dijadualkan untuk pengurusan kes di hadapan Mahkamah Tinggi pada 3 September.
Na’imah dan Daim, 85, juga menghadapi kes mahkamah jenayah yang berasingan berkaitan dengan dakwaan kegagalan pasangan itu untuk mematuhi notis SPRM untuk mengisytiharkan aset mereka.
Firma guaman Rosli Dahlan Saravana Partnership mewakili Na’imah dalam cabaran cukai ini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai