Skip to main
Logo Malaysiakini

Gergasi IT gesa k'jaan batal rancangan lesen media sosial

Artikel ini sudah 19 hari diterbitkan

Nota Editor: Artikel ini telah dikemas kini dengan versi terkini surat AIC dan penjelasan Grab Malaysia.

Gabungan gergasi teknologi yang antaranya terdiri daripada Google, Meta, Amazon dan Apple menggesa kerajaan untuk menghentikan rancangan mengenakan lesen ke atas platform media sosial.

Bantahan yang disuarakan dalam surat kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim ini bercanggah dengan dakwaan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil bahawa platform media sosial telah memberi respon positif terhadap peraturan tersebut.

Dalam surat mereka, gergasi teknologi yang bergabung di bawah nama Asia Internet Coalition (AIC) menyatakan undang-undang tersebut "tidak praktikal".

“Kami percaya rangka kerja pelesenan ini tidak praktikal untuk industri dan akan memberi kesan buruk kepada inovasi dengan meletakkan beban yang tidak wajar ke atas perniagaan,” kata pengarah urusan AIC, Jeff Paine, dalam surat pengantar bertarikh 23 Ogos.

“Ini akan menghalang pelaburan yang sedang berlangsung dan menghalang pelaburan masa depan disebabkan oleh kerumitan dan kos pematuhan,” tambahnya.

Katanya tiada perbincangan awam rasmi sebelum kerajaan menerbitkan garis panduan undang-undang tersebut pada 1 Ogos.

Menurut Paine, keadaan ini mencetuskan "ketidakpastian yang besar" dalam kalangan penyedia perkhidmatan platform.

“Tiada platform yang boleh diharapkan untuk mendaftar di bawah syarat-syarat ini,” katanya.

Surat tersebut telah diterbitkan kepada umum di laman web AIC hari ini.

Surat yang disiarkan dalam talian itu pada mulanya mengandungi senarai 17 syarikat anggota AIC.

Bagaimanapun, ia kemudiannya mengeluarkan surat terbaru bertarikh hari ini yang hanya mengandungi enam syarikat untuk "perwakilan industri" iaitu: Google, Meta, Amazon, Apple, LinkedIn, dan X (dahulunya dikenali sebagai Twitter).

Syarikat yang digugurkan ialah Grab, Yahoo, Pinterest, Spotify, Booking.com, Zalora, Shopify dan FedEx.

Grab Malaysia telah mengeluarkan kenyataan mengatakan ia tidak dirunding atau dimaklumkan mengenai surat itu, dan tidak akan mengulas mengenai peraturan baru itu kerana ia tidak menjejaskan operasinya.

[Baca berita penuh]