Skip to main
Logo Malaysiakini

Tanah jerlus: Mesin jetter berkuasa tinggi pecah sisa batuan

Artikel ini sudah 24 hari diterbitkan

Mesin jetter atau jet pembetung berkuasa tinggi kini digunakan bagi memecah sisa batuan yang terdapat di lurang di hadapan Wisma Yakin, Jalan Masjid India di Kuala Lumpur dalam usaha mencari wanita warga India yang hilang dalam insiden tanah jerlus pada Jumaat lepas.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Sulizmie Affendy Sulaiman berkata penggunaan kamera oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) telah mengesan sisa batuan dipercayai akibat tanah jerlus itu pada kedudukan empat meter selepas lurang itu.

"Sisa batuan ini perlu dialihkan agar pasukan SAR dapat melihat jika terdapat sebarang objek asing termasuk mangsa tersangkut pada sisa batuan itu.

"Buat masa ini, kita telah melakukan empat kali kaedah jetting dan kami akan teruskan sehingga sisa batuan ini berjaya dipecahkan sepenuhnya," kata beliau pada sidang media di Jalan Masjid India hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Indah Water Konsortium (IWK) Narendran Maniam serta Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur Rozihan Anwar Mamat.

- Bernama