Skip to main
Logo Malaysiakini

Lesen media sosial: Gergasi IT lunakkan bantahan

Artikel ini sudah 18 hari diterbitkan

Surat terkini oleh gergasi teknologi termasuk Google, Meta, Amazon dan Apple yang membantah rancangan kerajaan untuk melesenkan media sosial telah diperhalusi berbanding versi asalnya.

Terdahulu Asia Internet Coalition (AIC) menyifatkan pelesenan itu sebagai "tidak praktikal" sebelum menukar ayat itu kepada ia akan "memberi kesan buruk kepada inovasi".

Selain itu, surat tersebut juga menghapuskan kenyataan yang menyebut disebabkan kekurangan rundingan "tiada platform yang boleh diharapkan untuk mendaftar di bawah syarat-syarat ini."

Bagaimanapun, kandungan lain dalam surat itu yang menyuarakan kebimbangan dan seruan agar kerajaan mempertimbangkan untuk mengenakan peraturan kendiri ke atas platform masih tidak berubah.

Perubahan ini, yang dibuat semalam, turut disertai dengan pengurangan jumlah syarikat yang menandatangani surat itu, daripada 17 ahli AIC kepada enam, iaitu Google, Meta, Amazon, Apple, LinkedIn dan X.

Syarikat-syarikat yang dikeluarkan termasuk Grab, Yahoo, Pinterest, Spotify, Booking.com, Zalora, Shopify dan FedEx.

Grab Malaysia mengeluarkan kenyataan berkata syarikat itu tidak dirujuk atau dimaklumkan mengenai surat berkenaan dan tidak akan mengulas mengenai peraturan baru tersebut kerana ia tidak menjejaskan operasi mereka.

Surat asal bertarikh 23 Ogos:

Surat dengan kemaskini 26 Ogos:

Rangka kerja pelesenan media sosial ini akan memerlukan platform utama untuk mendapatkan lesen di Malaysia menjelang awal tahun depan jika mereka ingin terus beroperasi di Malaysia tanpa dikenakan penalti.

Sebelum ini, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata platform-platform berkenaan telah memberikan maklum balas positif terhadap peraturan baru tersebut.