Skip to main
Logo Malaysiakini

Berjaya Food catat rugi bersih RM91.51 juta

Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

Berjaya Food Bhd (BFood) mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM91.51 juta bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun, 2024, berbanding keuntungan bersih RM103.40 juta pada tahun kewangan sebelumnya.

BFood dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata perolehan syarikat turun kepada RM730.30 juta daripada RM1.11 bilion pada tahun sebelumnya.

Perolehan lebih rendah itu adalah disebabkan sentimen semasa berkaitan dengan konflik di Timur Tengah serta kerugian sekali susulan penjualan keseluruhan kepentingan ekuiti kumpulan dalam Jollibean Foods Pte Ltd.

Bagi suku keempat 2024, kumpulan itu mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM38.20 juta berbanding keuntungan bersih sebanyak RM17.28 juta pada suku yang sama tahun lepas manakala perolehan merosot kepada RM130.56 juta daripada RM271.74 juta.

BFood juga tidak mengesyorkan sebarang dividen pada suku tersebut.

Mengenai prospek masa depan, BFood berkata lembaga pengarah menyedari akan keadaan pasaran yang mencabar ketika ini dan tekanan luaran yang menjejaskan prestasi perniagaan kumpulan.

"Walaupun menghadapi kesukaran ini, kami tetap optimis dalam berhati-hati dan menjangkakan prestasi operasi meningkat secara beransur-ansur sepanjang tahun kewangan akan datang.

"Meskipun pemulihan mungkin perlahan disebabkan keadaan tidak menentu yang berterusan, lembaga pengarah percaya pelarasan strategik dan penambahbaikan operasi akan dapat membantu mengukuhkan kedudukan kumpulan dan mencapai keputusan kewangan yang lebih baik," katanya.

-Bernama