Skip to main
Logo Malaysiakini

WAWANCARA l Bekal senjata dan perdamaian: Duta AS ulas konflik Asia Barat

Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

WAWANCARA | Konflik terbaru di Asia Barat telah berlarutan selama 10 bulan dengan lebih 40,000 nyawa terkorban. Namun, keamanan masih sukar dicapai.

Duta Amerika Syarikat ke Malaysia, Edgard D Kagan menjelaskan Washington komited untuk menamatkan pertumpahan darah namun tidak bersedia untuk "berpaling" dari komitmen jangka panjang mereka terhadap keselamatan Israel.

Kagan memberitahu demikian ketika melawat pejabat Malaysiakini, baru-baru ini. Dia ditanya mengenai "percanggahan" antara seruan untuk gencatan senjata dan pengurangan konflik tetapi pada masa sama menghantar senjata untuk menyokong Israel.

Bagaimanapun, duta itu percaya hubungan dan kekuatan komitmen AS kepada Israel memberi AS kredibiliti untuk menjadi pengantara damai di rantau tersebut.

“Pandangan kami untuk mencapai persetujuan, iaitu gencatan senjata, penting untuk membawa Israel bersama.

“Tiada siapa yang beralih kepada negara-negara yang mempunyai hubungan buruk dengan Israel berharapan mereka akan membantu mencapai gencatan senjata.

“Jadi saya fikir hubungan yang kami miliki itu kritikal. Ia mencerminkan komitmen jangka panjang kami terhadap nilai-nilai bersama.

“Walaupun saya menghargai kritikan orang ramai terhadap perkara ini, kami percaya ia cara terbaik untuk mencapai matlamat untuk mengekalkan kestabilan dan keamanan, serta cuba membawa gencatan senjata di Gaza,” tambahnya.

Tak adil membisu serangan 7 Oktober

Menjawab satu lagi soalan mengenai konflik itu, Kagan berkata tidak adil apabila mereka yang mengutuk Israel berdiam diri mengenai serangan Hamas pada 7 Oktober, yang mengorbankan lebih 1,000 nyawa.

“Saya fikir untuk mempunyai kredibiliti, anda perlu mengakui bahawa terdapat kitaran tindakan dan reaksi. Apa yang berlaku pada 7 Oktober mengerikan. Dan penahanan tebusan yang berterusan melanggar undang-undang antarabangsa.

“Saya faham ada kritikan terhadap dasar Israel yang wujud sebelum 7 Oktober, tetapi untuk tidak mengakui bahawa apa yang berlaku pada 7 Oktober secara langsung membawa kepada keadaan yang kita hadapi hari ini, saya fikir itu tidak akan berkesan,” tambahnya.

Gambar fail, tebusan Israel dibebaskan.

Ketika dicadangkan bahawa tiada keperluan mendengar pendapat AS mengenai isu hak asasi manusia apabila negara itu kerap mengundi menentang atau menggunakan veto terhadap resolusi yang berkaitan dengan Israel di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Kagan berkata veto itu digunakan kerana AS percaya ia "berat sebelah."

“Pendapat AS sangat jelas, apabila kami menggunakan veto terhadap resolusi, ia kerana perkara seperti tidak melepaskan tebusan... untuk apa yang kami percaya sebagai tindakan yang berat sebelah.

"Dalam pengalaman kami, resolusi dan tindakan yang berat sebelah tidak berkesan.

“Mungkin ada negara yang merasa berpuas hati dapat melakukannya, tetapi pada akhirnya, perbezaan besar ialah orang ramai melihat kepada AS bukan untuk apa yang kami katakan tetapi apa yang kami buat. Jika kami mahu menjadi berkesan, perlu ada keseimbangan.

“Juga perlu diingat kami memimpin usaha untuk mendapatkan resolusi gencatan senjata. Jadi saya fikir ini menyerlahkan hakikat AS bersedia menyeru gencatan senjata, tetapi ia perlu seimbang.

“Saya tidak percaya terdapat sebarang percanggahan antara pendirian kami di Gaza dan idea kami menyokong hak asasi manusia.

“Kami sangat jelas dalam menyeru Israel untuk bertanggungjawab atas apa yang kami percaya sebagai penggunaan kekerasan yang berlebihan,” tambahnya.

AS pilih bulu kutuk Rusia?

Menjawab soalan mengenai AS bersikap berat sebelah kerana mengutuk serangan Rusia ke atas Ukraine, Kagan menjawab: “Sudah tentu tidak.”

“Saya tidak fikir ada sesiapa yang menafikan apa yang berlaku pada 7 Oktober. Sangat jelas dalam undang-undang antarabangsa, negara berhak untuk mempertahankan diri.

"Tiada apa yang berlaku pada 7 Oktober yang berlaku pada 24 Februari 2022 (apabila Rusia menyerang Ukraine). Tiada hujah mempertahankan diri oleh Rusia. Rusia menyerang.

“Mereka menyerang negara lain untuk mengubah sempadan dengan cara yang sangat jelas tidak boleh diterima mengikut Piagam PBB dan lebih penting lagi, negara-negara di seluruh dunia mengatakan (serangan ke Ukraine itu) tidak boleh diterima.

“Adakah rakyat Malaysia benar-benar percaya mereka akan lebih baik jika membenarkan satu negara menyerang negara lain,” soalnya.

Kagan juga berkongsi pandangannya mengenai kritikan vokal Perdana Menteri Anwar Ibrahim terhadap Israel dan sekutunya serta bagaimana perasaan rakyat Malaysia terhadap konflik itu dan penglibatan kerajaan AS.

“Perlu diakui, berbeza dengan Rusia yang terus mengebom orang awam di Syria, AS tidak terlibat secara langsung. Tetapi kami faham pandangan orang ramai.

"Juga penting untuk diakui secara keseluruhan, AS telah melakukan lebih banyak untuk menyokong rakyat Gaza dalam tempoh 20 tahun yang lalu dari mana-mana negara lain.

“Dari segi bantuan, sumbangan kepada kesejahteraan mereka...

“AS sepenuhnya bersetuju perlu ada gencatan senjata. Kami telah berusaha ke arah itu dan kami telah bekerjasama rapat dengan Mesir dan Qatar. Kami telah bekerja untuk memastikan satu pihak bersedia untuk menerimanya.

"Sekarang terpulang kepada Hamas untuk menerimanya... Kami sedang menunggu Hamas memberi respons. Terpulang kepada Hamas untuk menunjukkan mereka juga ingin melihat gencatan senjata,” katanya.

Kagan berkata AS bersetuju dengan kerajaan Malaysia perlu ada gencatan senjata dan bantuan kemanusiaan ke Gaza.

“Kami percaya untuk mendapatkan gencatan senjata perlu ada pembebasan tebusan. Kami juga setuju perlu ada bantuan kemanusiaan.

"Terdapat kekurangan (bantuan) yang sangat ketara dan kami sebenarnya telah mengambil tindakan untuk cuba dan melaksanakan lebih banyak bantuan.

"Ini termasuk bekalan makanan, air, ubat-ubatan dan tempat tinggal kerana akhirnya kami sangat komited untuk melakukan segala yang kami mampu untuk menyediakan bantuan kemanusiaan di Gaza,” tambahnya.

Untuk jangka panjang, Kagan bersetuju perlu ada keamanan yang berkekalan dan penyelesaian dua negara, sambil menjelaskan AS telah berusaha ke arah cita-cita itu sejak sekian lama tanpa membuahkan hasil.

Dalam hal ini, Kagan meletakkan sebahagian besar kesalahan kepada Hamas.

“Hakikat tiada keamanan hari ini mungkin lebih disebabkan oleh serangan besar yang dilakukan oleh Hamas daripada mana-mana sebab utama yang lain.

“Jelas sekali terdapat banyak pihak yang bertanggungjawab dan orang ramai boleh berdebat... Kami juga percaya penting untuk meredakan ketegangan di rantau ini.

"Jelas sekali jika ketegangan baru, konflik baru tercetus (maka) ia tidak baik untuk kita semua di rantau ini dan sesiapa sahaja yang mengambil berat tentang rantau ini. Kami (AS) telah bekerja keras untuk melakukan itu (meredakan ketegangan).

“Saya fikir ia sesuatu yang sangat menyedihkan apabila keadaan menjadi genting, orang ramai melihat kepada AS untuk melakukan perkara ini.

"Sebagai rakyat Amerika, kami mengambil tanggungjawab itu dengan sangat serius. Akhirnya dari perspektif Amerika, kami mengakui bahawa kami akan dinilai berdasarkan apa yang kami buat bukan hanya apa yang kami katakan,” tambahnya.

[Baca berita asal]