'635 pengarah syarikat disekat keluar negara akibat tunggakan caruman'
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah mengemukakan 635 nama pengarah syarikat kepada Jabatan Imigresen antara Januari dan Jun lepas untuk menghalang mereka meninggalkan Malaysia selagi belum menjelaskan tunggakan caruman KWSP.
CEO KWSP Sazaliza Zainuddin berkata majikan diingatkan membayar caruman pekerja mereka dengan segera seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 43(1) Akta KWSP 1991.
"Kegagalan membayar caruman KWSP pada masanya merupakan satu kesalahan serius dan KWSP tidak akan teragak-agak untuk menggunakan penyelesaian undang-undang terhadap majikan yang ingkar termasuk tindakan sivil dan jenayah, untuk melindungi hak pekerja," katanya dalam kenyataan hari ini.
Caruman bulanan menunjukkan komitmen majikan terhadap kesejahteraan pekerja dan bagi memenuhi kewajiban undang-undang dan KWSP akan terus menguatkuasakan dan memantau majikan untuk memastikan semua jumlah tertunggak dibayar sepenuhnya.
"Setakat Jun 2024, sejumlah 13,820 majikan atau 2.02 peratus daripada keseluruhan 685,399 majikan yang berdaftar dengan KWSP telah gagal membayar caruman pekerja mereka.
"Bagi tempoh sama, sebanyak 12,787 pengarah syarikat telah dihalang keluar negara akibat tunggakan caruman, seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 39 Akta KWSP 1991," menurut kenyataan itu.
KWSP memberitahu dalam tempoh antara Januari dan Jun lepas, sebanyak 1,932 saman sivil telah difailkan terhadap pengarah syarikat manakala 2,200 kes jenayah difailkan terhadap majikan yang ingkar caruman KWSP bulanan pekerja mereka.
Sehubungan dengan itu, KWSP menasihati ahli agar menyemak akaun KWSP secara berkala melalui aplikasi i-Akaun untuk memastikan caruman daripada majikan dibayar dengan tepat jumlahnya dan pada masanya.
Sekiranya terdapat percanggahan, ahli hendaklah menghubungi majikan dengan segera atau melaporkan kepada KWSP melalui laman web www.kwsp.gov.my, atau menghubungi Pusat Pengurusan Perhubungan KWSP menerusi talian 03-8922 6000.
KWSP juga amat menggalakkan majikan untuk menggunakan platform KWSP i-Akaun yang membolehkan mereka menyemak dengan selamat senarai pekerja bagi caruman yang telah dibayar serta sejarah pembayaran mereka.
-Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai