Skip to main
Logo Malaysiakini

Lebih 50 majikan dipanggil SPRM isu RTK 2.0

Artikel ini sudah 22 hari diterbitkan

Lebih 50 majikan dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK 2.0).

Sumber dalaman SPRM dan beberapa sumber daripada pihak majikan mengesahkan majikan-majikan ini dipanggil berhubung dakwaan menggunakan dokumen palsu ketika membuat permohonan penggajian pekerja asing di bawah program RTK 2.0.

"Memang majikan dipanggil sejak minggu lepas di SPRM Kuala Lumpur. Disiasat atas kes RTK2.0," kata sumber SPRM itu kepada Malaysiakini.

Sumber itu tidak mendedahkan jumlah sebenar majikan dipanggil setakat ini. Namun, pihak majikan mendakwa lebih 50 daripada kalangan mereka dipanggil.

Sumber itu juga tidak memberi maklumat ketika ditanya jika terdapat sebarang penahanan melibatkan pihak majikan.

Malaysiakini telah menghubungi SPRM untuk mendapatkan ulasan.

Ketika dihubungi, Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff mengesahkan siasatan tersebut.

"JIM Kuala Lumpur sedang bekerjasama dengan SPRM berhubung siasatan ke atas majikan yang menyertai program RTK kerana dipercayai cuba menipu jabatan menggunakan butiran tidak sah atau dipinda dan dokumen palsu bagi memperoleh kuota pekerja asing.

"Pihak JIM KL telah menyerahkan dokumen-dokumen berkaitan kepada pihak SPRM untuk tindakan dan siasatan lanjut," katanya.

Dakwa tindakan balas dendam

Sementara itu, bercakap dengan Malaysiakini dengan syarat tidak mendedahkan identiti, beberapa majikan mendakwa bahawa siasatan tersebut adalah tndakan “balas dendam” oleh seorang pegawai JIM daripada Kuala Lumpur.

"Sejak RTK2.0 dimulakan, pegawai ini mempunyai isu dengan dengan beberapa majikan khususnya majikan yang tidak menggunakan agensi pekerja asing.

"RTK 2.0 ini ada beberapa lapisan proses. Kami menggunakan dokumen yang sama untuk setiap proses termasuk proses verifikasi (menggunakan cap jari) dan tidak ada sebarang masalah (dokumen palsu) sehingga sampai ke meja pegawai ini untuk proses kuota pengambilan pekerja (daripada kalangan) pendatang asing tanpa izin (melalui) RTK 2.0.

"Sejak awal, pegawai ini menggunakan pelbagai alasan dan helah untuk menolak permohonan kami dan kami telah pun membuat aduan terhadap pegawai tersebut di JIM Putrajaya.

"Di sebalik siasatan terhadap aduan itu , kami pula dipanggil untuk siasatan," kata salah seorang majikan.

RTK 2.0 merupakan program khas meregularisasikan pendatang asing tanpa izin sebagai pekerja asing yang sah digajikan oleh majikan yang tertakluk kepada syarat JIM.