Skip to main
Logo Malaysiakini

Jalan Masjid India ditutup akibat insiden mendapan tanah

Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

Jalan Masjid India di Kuala Lumpur ditutup hari ini kepada semua kenderaan susulan mendapan tanah dikesan berlaku berdekatan sebuah pondok polis iaitu kira-kira 50 meter dari lokasi insiden tanah jerlus baru-baru ini.

Tinjauan Bernama mendapati pita kuning Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut dipasang sepanjang jalan dari Masjid India hingga Maybank di Jalan Bunus.

Bagaimanapun, pejalan kaki masih dibenar melalui sebahagian jalan itu yang tidak terjejas manakala kedai di kawasan sekitar dibuka seperti biasa.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Suliezmy Affendy Sulaiman pula memberitahu pemberita bahawa perbincangan sedang dilakukan untuk memperluas penutupan jalan dan perkembangan lanjut akan dimaklum kemudian.

Mendapan tanah itu dipercayai berlaku pada awal pagi selepas hujan lebat dan ribut malam tadi. 

Insiden tanah jerlus pada Jumaat lepas menyaksikan seorang wanita dikenali sebagai Vijayaletchumy, 48, dari Kuppam, Andhra Pradesh, India hilang selepas terjatuh ke lubang sedalam lapan meter dengan operasi mencari dan menyelamat mangsa memasuki hari keenam hari ini. 

-Bernama