WAWANCARA | Duta AS puji 'kejayaan demokrasi' Malaysia
WAWANCARA | Diplomat kanan Amerika Syarikat, Edgard D Kagan, kembali ke Malaysia pada Mac tahun ini untuk memegang jawatan sebagai duta. Sebelum ini dia pernah berkhidmat sebagai timbalan ketua misi di kedutaan AS di Kuala Lumpur dari 2014 ke 2017.
Menggambarkan peristiwa yang berlaku di Malaysia sebagai kisah kejayaan demokrasi,” dia memuji institusi demokratik negara atas "perubahan luar biasa" yang berlaku secara aman dan stabil.
"Bagi kami, apa yang Malaysia dan rakyat Malaysia lalui dalam banyak cara adalah kisah kejayaan demokrasi.
"Ini berlaku ketika banyak persoalan ditimbulkan mengenai demokrasi dan keberkesanannya di seluruh dunia serta negara-negara autoritarian berhujah sistem mereka lebih baik," kata Kagan pada satu temubual semasa berkunjung ke pejabat Malaysiakini.
Sejak Kagan kembali bertugas ke Malaysia, negaranya sedang bersiap sedia menghadapi pilihan raya presiden AS yang akan berlangsung pada November ini.
Ditanya mengenai ramalannya dan potensi kesan pilihan raya tersebut terhadap hubungan AS-Malaysia, duta itu berkata walaupun diplomat tidak terlibat dalam politik namun kedua-dua negara telah menjalin hubungan dua hala yang kukuh selama lebih enam dekad.
"Sudah tentu, terdapat titik-titik pergeseran dan perbezaan pendapat. Terdapat pula masa-masa ketika hubungan itu lebih kukuh dari masa yang lain.
"Bagi saya, apa yang anda boleh lihat, dalam banyak cara, terdapat kurang ketidakpastian terhadap dasar pada pilihan raya (presiden AS) kali ini.
"Memandangkan seorang calon (Donald Trump) bekas presiden yang pernah memegang jawatan selama empat tahun dan seorang lagi (Kamala Harris) naib kepada presiden (Joe Biden) semasa ini.
"Anda boleh melihat kesinambungan dan konsistensi yang ketara dalam dasar antara kedua-dua calon," tambahnya.
Rantau penting
Pada masa sama, Kagan berkata perkembangan di Indo-Pasifik - istilah yang merujuk semua negara dan kepulauan yang mengelilingi Lautan Hindi atau Lautan Pasifik - akan terus menjadi kritikal untuk AS di bawah pentadbiran baru.
"Saya fikir terdapat penghargaan meluas yang merangkumi kedua-dua parti politik, bahawa apa yang berlaku di Indo-Pasifik akan menjadi bab yang paling penting dalam sejarah abad ke-21.
"AS perlu bukan sahaja meneruskan tetapi meningkatkan jangkauan kami di rantau ini supaya berjaya dalam memajukan kepentingan kami termasuk mempromosikan kemakmuran untuk AS.
"Saya fikir terdapat kesedaran bahawa Indo-Pasifik adalah kritikal dan saya fikir apa yang benar-benar penting, apa yang kita boleh lakukan bersama-sama dan itu akan memerlukan usaha oleh kedua-dua AS dan Malaysia.
"Saya fikir tanpa mengira siapa pun yang menang (pilihan raya presiden AS) anda akan melihat keterbukaan dari pihak AS untuk mencari cara untuk bekerjasama," katanya lagi.
Di rantau Indo-Pasifik, negara-negara Asean termasuk Malaysia dilihat sebagai pusat kuasa geopolitik, menangani isu-isu yang memberi kesan kepada kepentingan AS dan serantau.
Kepimpinan Malaysia dalam Asean
Ditanya mengenai jangkaannya terhadap Malaysia sebagai pengerusi Asean tahun depan, Kagan berkata keutamaan segera perlu ditentukan oleh kerajaan dan negara-negara anggota lain.
"Saya mempunyai keyakinan yang tinggi terhadap kepimpinan Malaysia dalam Asean. Saya berada di sini pada tahun 2015 ketika Malaysia menjadi pengerusi yang sangat berkesan dan saya mempunyai sebab untuk percaya ia akan berlaku lagi.
"Pemimpin Malaysia menghargai kepentingan Asean kepada AS," katanya.
Sejak tugas terakhirnya di Kuala Lumpur, Kagan berkata terdapat penghargaan yang lebih besar terhadap kepentingan Asean kepada AS.
Ini, katanya diterjemahkan dengan pelbagai bentuk penglibatan yang diperluaskan antara kerajaan AS dan Asean sebagai platform serantau, di samping hubungan dua hala dengan negara-negara anggota.
"Kami percaya Asean mempunyai peranan yang sangat penting untuk dimainkan dalam menangani perubahan iklim, cuba memperbaiki integrasi ekonomi di Asia Tenggara, menangani isu-isu tertentu seperti tumpuan bersama terhadap keselamatan, dan memerangi pemerdagangan orang. Terdapat pelbagai perkara yang perlu dilakukan.
"Akhirnya, kami bersedia untuk bekerjasama dengan Asean dan Malaysia sebagai pengerusi Asean dalam hal-hal berkaitan Asean," kata Kagan.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai