Skip to main
Logo Malaysiakini

NGO perlu kekal relevan, ikut peredaran zaman - pengasas Komas

Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

WAWANCARA | Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perlu meningkatkan usaha mereka dalam menggunakan media sosial dan cara lain untuk menyampaikan mesej mereka, kata pengasas Pusat Komas, Jerald Joseph.

NGO perlu mengubah pemikiran mereka untuk mengikuti peredaran zaman walaupun ini termasuk mengambil pekerja khusus untuk komunikasi, katanya kepada Malaysiakini.

“Pada masa ini, saya rasa kita belum menemui formula yang sesuai.

“Kita melakukan banyak kerja di lapangan, tetapi ia tidak disebarkan secara meluas.

“Ia tidak mewujudkan naratif utama. Begitu juga, ia tidak mempunyai kuasa untuk mencipta naratif balas,” katanya.

Jerald berkata ini kerana kerja-kerja yang dilakukan oleh Pusat Komas biasanya berada di luar tumpuan umum, di kawasan luar Lembah Klang.

Perlu diambil perhatian bahawa banyak NGO yang terkenal hari ini bermula pada tahun 1980-an dan 1990-an. Seperti Awam, Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Sisters in Islam (SIS) dan termasuk juga Pusat Komas berkembang dalam era tersebut serta memainkan peranan penting dalam mengetengahkan isu-isu masyarakat sivil.

Pusat Komas ditubuhkan pada tahun 1993 sebagai NGO hak asasi manusia yang memperjuangkan demokrasi dan anti-diskriminasi.

Ia juga menjalankan bengkel untuk memperkasakan komuniti Orang Asli di Semenanjung Malaysia.

Pusat Komas juga telah memulakan FreedomFilmFest yang popular pada tahun 2003, yang kini diuruskan secara bebas oleh Freedom Film Network.

Sejak tahun 2006, NGO ini telah beralih kepada memperjuangkan isu diskriminasi kaum.

Bagaimanapun, dari semasa ke semasa, landskap negara dan masyarakat berubah maka NGO perlu terus menyesuaikan diri walaupun dengan kepimpinan mereka yang semakin tua.

Menurut Jerald, satu lagi sebab Komas tidak begitu berprofil tinggi mungkin kerana kerja NGO ini berpusat kepada isu perkauman yang sensitif.

Walau apapun, dia berkata organisasinya sedang mengambil langkah-langkah untuk meningkatkan kesedaran mengenai kerja-kerja mereka di platform media sosial.

"Ia (media sosial) medan pertempuran untuk idea dan pengaruh," katanya.

Dia berkata respons pantas terhadap isu-isu, komunikasi massa seperti kumpulan WhatsApp, artikel pendapat yang relevan dan berterusan serta laman web yang dikemas kini antara cara lain yang boleh dipertingkatkan oleh NGO.

Gambar fail, bengkel anjuran Pusat Komas.

Dalam berdepan gelombang maklumat media sosial, Jerald berkata Pusat Komas telah mula berkongsi infografik di akaun media sosial mereka serta surat berita yang dipanggil ‘Komas Monitors’.

Pusat Komas telah menyertai projek pembinaan kapasiti yang dianjurkan oleh Kesatuan Eropah dua bulan lalu, dengan pakar media sosial dan pempengaruh melatih NGO mengenai cara menggunakan media sosial.

"Kami sedang mencuba, bermaksud kami sedang belajar apa yang perlu dilakukan, bagaimana untuk melakukannya," jelas Jerald.

Ini penting katanya terutama memandangkan persidangan kebangsaan ke-12 Pusat Komas yang bertemakan ‘Manoeuvring out of the Racism Trap' (Ubah haluan keluar dari perangkap perkauman) pada 2 September di Connexion di Bangsar South, Kuala Lumpur yang akan datang.

Persidangan yang relevan

Jerald berkata tema persidangan itu dipilih berdasarkan kegagalan kerajaan berturut-turut untuk menangani isu perkauman dalam negara.

“Kami tahu ini bukan tongkat ajaib, tiada kerajaan yang boleh sekadar berkata ‘saya lakukannya hari ini’ dan kemudian semuanya selesai.

"Jadi saya rasa azam, bahasa dari Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan janji-janji mereka (kerajaan) nampaknya mencadangkan bahawa kerajaan komited kepada semua orang," katanya.

Kesukaran dalam menangani perkauman kerana perlu berdepan dengan kepercayaan kontroversi, seperti 'kontrak sosial', jelasnya.

“Perbincangan mengenai pendatang atau bukan pendatang itu sudah ketinggalan zaman dan lapuk.

"Kami sudah ada di sini, anda sudah menjadi warganegara jadi ia tidak mengecualikan anda.

"Anehnya, kita meraikan orang yang mempunyai keturunan pendatang yang menjadi presiden, perdana menteri, (seperti) datuk bandar London, (presiden) Amerika Syarikat," katanya.

Walaupun meraikan perkara itu namun rakyat Malaysia tidak mempunyai kehendak untuk melakukan perkara yang sama di negara sendiri, tambahnya.

Hak istimewa

Jerald berkata keadaan bertambah sukar apabila hak istimewa yang diberikan kepada kaum majoriti, katanya.

“Jika anda menyerahkan negara kepada tangan majoriti, maka kezaliman akan mengambil alih, fasisme akan mengambil alih, itu berbahaya,” jelasnya.

Katanya, Pusat Komas berharap persidangan itu akan menjadi platform untuk membincangkan penyelesaian kepada isu perkauman, terutama memandangkan penceramah daripada kerajaan akan hadir.

Selain itu, dia berkongsi pandangannya tentang golongan muda hari ini dan peranan yang mereka boleh mainkan dalam NGO.

Dia memuji semangat dan keberanian yang dimiliki oleh golongan muda, yang mendorong mereka untuk menyertai ruang politik dan bukannya dunia korporat untuk membawa perubahan kepada negara.

“Saya rasa keyakinan mereka (golongan muda) terhadap kuasa yang mereka miliki mungkin sangat tinggi, jadi mereka mahu terjun ke dalam kancah (politik) dan bertindak, jadi sudah tentu (parti) politik dan beberapa NGO menjadi wadahnya dan saya rasa itu positif,” katanya.

Bukan sahaja mereka bercadang untuk membawa perubahan tetapi kata Jerald mereka juga pandai menyatakan sebab-sebab kenapa ingin melakukannya.

Namun, dia memberi peringatan golongan muda mungkin mahu perubahan berlaku dengan cepat, yang sering tidak berlaku.

“Kumpulan yang lebih muda, mereka mahu membawa perubahan, tetapi (bagi mereka) ia mesti berlaku dengan sangat cepat, jadi mereka hebat dalam memberikan segalanya, tiada yang kurang,” katanya.

Dalam kes ini, dia menasihatkan golongan tua untuk menjadi mentor kepada golongan muda dan mengajar mereka kemahiran analitikal.

Ini kata Jerald supaya golongan muda mempunyai pengetahuan untuk terus bertahan apabila keterujaan dan semangatnya memudar.

[Baca berita asal]