Skip to main
Logo Malaysiakini

Pengimport telur gagal mulakan prosiding hina mahkamah terhadap Azmin

Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membatalkan permohonan seorang pengimport telur untuk memulakan prosiding penghinaan terhadap Azmin Ali.

Pesuruhjaya Kehakiman Leong Wai Hong menolak permohonan kebenaran oleh J&E Advance Tech Sdn Bhd, yang menyaman bekas  menteri perdagangan antarabangsa dan industri itu atas dakwaan memfitnah.

Mengikut undang-undang, kesalahan kerana menghina mahkamah membawa hukuman penjara dan denda. Walau bagaimanapun, sebarang prosing menghina mahkamah perlu kebenaran mahkamah.

J&E Advance Tech mendakwa Azmin melakukan penghinaan melalui pemfailan kenyataan saksinya, yang didakwa bercanggah dengan pemfailan terdahulu.

Kenyataan saksi Adun Hulu Kelang itu adalah untuk perbicaraan mahkamah sivil pada Mei lalu berhubung  tuntutan mahkamah terhadapnya berhubung isu import telur dari India.

Awal tahun lalu, J&E Advance Tech memfailkan saman itu berhubung ucapan Azmin semasa ceramah pada 11 Mac 2023.

Dalam pernyataan pembelaannya, Azmin menafikan cuba memfitnah syarikat pengimport telur itu, dengan menyatakan bahawa dia hanya mempersoalkan janji kerajaan Anwar Ibrahim untuk melaksanakan tender terbuka bagi semua perolehan kerajaan.

Defendan berkata ucapannya tidak pernah menyebut nama syarikat itu dan merujuk terus kepada kerajaan dan ahli perniagaan Deepak Jaikishan.

Dalam jawapan syarikat yang difailkan pada 11 Ogos tahun lepas, plaintif membalas bahawa kenyataan Azmin adalah fitnah pada awal ucapannya dan pada bahagian berikutnya apabila mendakwa pihak tertentu terlibat dalam penyelewengan, yang dalam fikiran munasabah mana-mana pendengar secara tidak langsung merujuk kepada syarikat itu.

J&E Advance Tech berkata walaupun ucapan Azmin tidak menamakannya, syarikat itu menegaskan adalah menjadi pengetahuan umum bahawa plaintif ialah pengimport tunggal telur dari India, berikutan namanya disebut oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu pada 8 Mac tahun lepas.

[Baca berita penuh]