'Anwar mungkin dihumban jika k'jaan terus guna akta zalim'
Rakyat yang mengangkat PH dan BN ke tampuk kuasa tidak akan teragak-agak untuk menumbangkan kerajaan jika terdapat ancaman untuk menggunakan undang-undang zalim seperti Akta Hasutan 1948, kata penganalisis.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan partinya PKR harus peka terhadap perkara ini kerana janji-janji reformasi mereka sebelum ini, kata profesor adjung Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) Jayum Anak Jawan kepada Malaysiakini.
"Pemimpin politik perlu peka dengan hal ini kerana dalam dekad yang lalu, rakyat tidak segan untuk menukar kerajaan dan pemimpin yang, pada pandangan mereka, tidak berkhidmat untuk kepentingan terbaik mereka.
"Apabila rakyat bersuara, kerajaan dan pemimpin harus mendengar kerana seperti mana mereka (rakyat) meletakkan mereka di sana (dalam kerajaan), mereka juga boleh menyingkirkan mereka melalui proses demokratik yang sama," katanya yang juga ahli Akademi Sains Malaysia.
Akta Hasutan 1948 undang-undang era kolonial kontroversi, menjenayahkan ucapan yang mempunyai "kecenderungan menghasut."
Antara definisi kecenderungan menghasut dalam akta ini termasuk kecenderungan untuk menimbulkan kebencian atau penghinaan terhadap mana-mana raja, kerajaan atau pentadbiran keadilan, untuk mempromosikan perasaan tidak senang dan permusuhan antara kaum atau kelas yang berbeza dan untuk mempersoalkan sebarang keistimewaan yang diperuntukkan untuk orang Melayu, pribumi dan kerabat diraja.
Akta ini pertama kali diperkenalkan oleh Inggeris pada tahun 1948 dan kemudian dipinda selepas rusuhan 13 Mei 1969 untuk memperluas skop sekatan terhadap kebebasan bersuara.
Kerajaan PH telah berjanji untuk memansuhkan akta ini sebagai sebahagian daripada manifesto gabungan tersebut.
Sementara itu, pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Syaza Syukri (gambar atas) bersetuju dengan pandangan Jayum mengenai apa yang bakal dihadapi kerajaan jika gagal menunaikan janji reformasi.
Kata Syaza ini memberi peluang kepada pembangkang untuk menonjolkan hipokrasi parti pemerintah.
Secara keseluruhannya, tidak ada kelebihan untuk PH dalam mengekalkan akta ini, katanya.
"Satu-satunya kelebihan yang saya lihat sekarang, untuk mendapatkan sokongan daripada keluarga diraja kerana penggunaan akta hasutan baru-baru ini berkaitan dengan kerabat diraja," katanya kepada Malaysiakini.
Dia merujuk kes Pengerusi PN Muhyiddin Yassin, yang didakwa di mahkamah Kelantan pada 27 Ogos atas ucapannya semasa pilihan raya kecil Nenggiri baru-baru ini.
Kenyataan Muhyiddin itu telah mengundang kemurkaan Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah kerana menuduh Yang di-Pertuan Agong sebelum ini Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah menghalang percubaannya untuk membentuk kerajaan selepas pilihan raya umum ke-15.
Anwar mempertahankan penggunaan akta hasutan terhadap Muhyiddin berkata dia mesti menghadapi akibat daripada kata-katanya itu.
Sementara itu penganalisis politik Wong Chin Huat (gambar bawah) berkata kerajaan mungkin dilihat sebagai "menjual orang Melayu" jika akta hasutan dimansuhkan.
Ini boleh dielakkan jika pembangkang menyokong pemansuhan akta tersebut, tambahnya.
"Dari segi politik, ramai orang Melayu melihat akta hasutan sebagai alat untuk melindungi dominasi politik dan kepekaan mereka daripada dicabar," jelasnya.
Untuk mengatasi naratif ini, dia berkata kerajaan boleh melaksanakan garis panduan dalam penggunaan akta tersebut yang dapat mengurangkan kebencian partisan yang memecahkan pengundi Melayu.
"Pada masa ini, kerajaan bertindak balas terhadap isu ini dengan memposisikan dirinya sebagai proistana, berdasarkan anggapan bahawa kebanyakan orang Melayu juga proistana.
"Walaupun anggapan ini tepat, pandangan seperti itu mungkin berubah dari semasa ke semasa," katanya.
Garis panduan mengenai penggunaan akta hasutan akan memastikan aplikasi akta tersebut yang tidak berat sebelah, konsisten dan munasabah, tambahnya.
Wong juga berkata ini akan berfungsi untuk menghilangkan kebimbangan bahawa kerajaan sekarang sama seperti "autoritarianisme gaya lama BN dalam pakej baru."
"Menghapuskan kawasan kelabu, memastikan pelaksanaan yang konsisten, kerajaan akan muncul sebagai reformis yang tulen walaupun akta hasutan kekal," katanya.
Namun, dalam memansuhkan akta tersebut, Wong berkata kerajaan tidak akan dilihat sebagai hipokrit atau "mengingkari janji," yang akan menjadi satu kelebihan.
Sementara itu, Syaza berkata isu lain yang perlu ditangani kerajaan termasuk jika rakyat Malaysia sudah bersedia untuk kebebasan bersuara terutamanya melibatkan perbincangan 3R (kaum, agama, raja).
"Adakah kita boleh membenarkan orang mengkritik isu 3R seperti yang dilakukan Muhyiddin? Adakah kita boleh menghentikan penyamaan kritikan dengan hasutan?
"Kerana isu 3R didakwa sebagai menghasut dan boleh menyebabkan ketidakharmonian," katanya.
[Baca berita asal]
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai