Skip to main
Logo Malaysiakini

Khazanah Nasional beri gaji minimum pekerja RM3,000 — Anwar

Artikel ini sudah 16 hari diterbitkan

Gaji minimum bagi semua pekerja di bawah Khazanah Nasional Berhad ditetapkan pada RM3,000, umum Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini.

Anwar, yang juga pengerusi Khazanah menyatakan harapannya agar syarikat-syarikat swasta akan mencontohi syarikat pelaburan negara itu.

"Sebab itu saya ucapkan tahniah setinggi-tingginya kepada Khazanah kerana inilah satu badan yang menetapkan gaji minima bagi setiap pekerja dalam keluarga Khazanah RM3000 lebih," katanya.

Anwar berkata demikian pada majlis sambutan ulang tahun ke-30 Khazanah Nasional di Kuala Lumpur petang ini.

Bulan lalu, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggesa Putrajaya supaya tidak menangguhkan pengumuman kadar gaji minimum baru bagi sektor swasta.

Kali terakhir kerajaan menyemak semula gaji minimum pada Mei 2022, semasa bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob.

Pentadbiran Ismail pada masa itu menaikkan gaji minimum - daripada RM1,200 kepada RM1,500 - untuk syarikat swasta yang mempunyai lima pekerja dan lebih.

Timbalan Presiden MTUC Matkar Siwang menegaskan perbahasan mengenai perkara itu semakin rancak berikutan pengumuman Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengenai kenaikan gaji kakitangan awam.

Matkar merujuk kajian oleh Bank Negara Malaysia, Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang mencadangkan gaji yang sesuai melebihi RM2,000.

Pada 16 Mei, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata cadangan gaji minimum RM2,102 sebulan yang dicadangkan oleh Unicef ​​akan dikaji dengan teliti.