Skip to main
Logo Malaysiakini

‘Tak wajar pengarah Jakoa Pahang buat kenyataan berbaur hasutan’

Artikel ini sudah 14 hari diterbitkan

Kerajaan Pahang memberi amaran kepada pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) negeri, Johari Alwi (gambar utama) yang didakwa membuat kenyataan mengelirukan berkenaan pertikaian antara masyarakat Orang Asli dengan sebuah syarikat milik kerajaan negeri.

Dalam kenyataan rasmi yang disiarkan di Facebook semalam, Setiausaha Kerajaan Pahang Zulkifli Yaakob merujuk kenyataan Johari berhubung projek Tanaman Semula Komersial (TSK) melibatkan masyarakat Orang Asli dan Orang Asli Corporation Sdn Bhd (Oraco), syarikat milik kerajaan negeri.

Dia berkata Zulkifli dan Ketua Pengarah Jakoa Sapiah Mod Nor tahu berkenaan pelantikan Oraco sebagai syarikat yang bertanggungjawab menguruskan projek TSK, memandangkan mereka dilantik sebagai ahli lembaga pengarah syarikat itu pada 16 November 2021.

“Tidak wajar baginya (Johari) selaku penjawat awam untuk mengeluarkan kenyataan tidak tepat dan berbaur hasutan yang boleh memberi kesan buruk kepada kerajaan negeri dan dilihat menyalahi Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 dan Akta Rahsia Rasmi 1972,” katanya.

Zulkifli dipercayai merujuk satu video di TikTok yang memaparkan Johari mempersoalkan mengapa sebuah syarikat milik kerajaan negeri masuk ke kawasan kampung Orang Asli tanpa berunding dengan tok batin mahupun penduduk.

Video itu dimuat naik pada 3 September lalu namun telah dipadam.

Dalam video yang dilihat Malaysiakini, Johari tanpa merujuk Oraco secara khusus berkata, syarikat itu sepatutnya berhubung dengan penduduk kampung sebelum mengambil tanaman mereka dalam projek TSK.

“Jika kita sewakan rumah, kita tak boleh masuk begitu saja (selaku pemilik). Kita perlu minta kebenaran.

“Saya tak setuju dengan apa yang berlaku. Mereka biadab…hanya kerana ada kuasa. Ini salah,” kata Johari yang juga merupakan Orang Asli.

Dalam video itu juga, Johari mengakui dia dan Sapiah adalah ahli lembaga pengarah Oraco namun itu atas undangan Menteri Besar Wan Rosdy Wan Ismail.

Sebelum ini, Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) merupakan badan yang mengurus tanah Orang Asli untuk projek penanaman semula dan TSK.

Pada 2022, Wan Rosdy berkata Oraco ditubuhkan bagi menjaga kepentingan ekonomi dan kebajikan Orang Asli.

Pada 1 Ogos lalu, aktivis Orang Asli Eliana Tan menyuarakan kekecewaannya selepas Oraco tetap mengambil alih projek TSK walaupun dibantah penduduk kampung.

Semalam, seorang lagi aktivis, Zurdi Baharu mendakwa Johari telah letak jawatan daripada Oraco, susulan meningkatnya ketegangan antara masyarakat Orang Asli dengan syarikat itu.