Skip to main
Logo Malaysiakini

Menteri: 46 kes disyaki mpox disahkan negatif

Artikel ini sudah 13 hari diterbitkan

Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan 46 kes yang disyaki virus cacar monyet atau mpox di Malaysia adalah negatif.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata hingga kini, kes mpox di Malaysia kekal sembilan kes yang direkodkan pada akhir tahun lepas.  

Dia berkata setakat ini, hampir 5.2 juta pengembara disaring di pintu masuk antarabangsa sejak 16 Ogos lepas.

“Terakhir pada Disember 2023, kita berdepan sembilan kes positif daripada varian clade II (dua), bukan I (satu) yang lebih ganas (yang sedang merebak sekarang)," katanya kepada pemberita pada Program Walkabout Premis Bersih, Bebas Asap di Jalan Dhoby di Johor Bahru malam tadi.

Turut hadir Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Datuk Dr Norhayati Rusli, Pengarah Kesihatan Negeri Johor Dr Mohtar Pungut @ Ahmad dan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Ling Tian Soon.

Dzulkefly dalam pada itu berkata, saringan terhadap pengembara di semua pintu masuk sempadan negara termasuk di lapangan terbang bagi mengekang penularan penyakit mpox tidak akan mengakibatkan kelewatan pelepasan di pintu masuk negara.

“Kita akan terus pertingkatkan jagaan kita di pintu masuk darat, udara, laut dan lapangan terbang antarabangsa kita.

“...tidak (melewatkan pelepasan), kita lakukan (saringan) dalam bentuk mobile scanner, jadi saya tidak nampak apa-apa pun tergendala atau kelewatan dari sudut teknikal dan sebagainya,” katanya.

-Bernama