Skip to main
Logo Malaysiakini

PRK Mahkota: Bersatu hanya jadi 'kambing hitam' PAS - Nur Jazlan

Artikel ini sudah 13 hari diterbitkan

Timbalan Pengerusi Umno Johor Nur Jazlan Mohamed menyifatkan PAS menjadikan Bersatu sebagai “kambing hitam” selepas parti itu dipilih untuk mewakili PN dalam PRK Mahkota yang akan diadakan.

“DUN Mahkota kubu kuat Umno dan PH, sudah lama menjadi mimpi ngeri buat PAS dan PN.

“Jadi, apa strategi mereka kali ini? Cara paling senang dan selamat untuk PAS ialah beri kerusi itu kepada Bersatu.

“Kononnya nak tunjuk kesepakatan dalam PN, tapi semua orang tahun hakikatnya PAS takut nak bertanding.

“(Jika) Kalah nanti, Pas boleh lepas tangan. Sambil menyelam, minum air. Bersatu dapat malu, Pas selamat nama,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Dua hari lalu, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan dilaporkan berkata PN memutuskan Bersatu akan bertanding pada PRK Mahkota selepas mengambil kira kerusi itu milik Bersatu sebelum ini.

Susulan itu, PAS Johor menyatakan pihaknya akur dengan keputusan itu dan akan membantu calon Bersatu nanti.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 28 September sebagai hari mengundi bagi PRK Mahkota, manakala penamaan calon dan hari mengundi awal masing-masing ditetapkan pada 14 dan 24 September.

PRK Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya, Sharifah Azizah Syed Zain pada 2 Ogos lalu.

PAS bertanding di kerusi DUN Mahkota pada setiap pilihan raya sejak 2204. Namun kerusi itu diserahkan kepada Bersatu pada PRN Johor pada Mac 2022, dengan Mohamad Nor Lingan sebagai calon.

Mengulas lanjut, Nur Jazlan mendakwa PAS membuat keputusan itu selepas kekalahan PN dalam PRK Nenggiri bulan lalu.

“PAS mungkin sudah hilang semangat untuk berjuang…Nak tambah koleksi kalah dua kali berturut-turut? Bunyinya macam PAS sudah tak sanggup dimalukan lagi,” katanya lagi.

Walaupun Bersatu menang di Nenggiri semasa PRN Kelantan pada 2023, bekas timbalan ketua pemuda PAS Gua Musang Mohd Rizwadi Ismail dipilih untuk menjadi calon pada PRK lalu.

Rizwadi meninggalkan PAS dan menyertai Bersatu kira-kira 24 jam kemudian, bagi membolehkan dia menjadi calon parti itu.

Mempertahankan langkah itu, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata Bersatu setuju dengannya.

Nur Jazlan turut mendakwa PAS pandai mempergunakan pihak lain demi kepentingan sendiri, selain “pakar” dalam menjadikan pihak lain sebagai “kambing hitam”.

“Bersatu nampaknya rela saja jadi buah catur (untuk PAS) dan bodoh. Tak sedar yang PAS asyik mainkan mereka?

“Atau mungkin Bersatu pun dah tak kisah. Asalkan ada peranan, walaupun sekadar jadi kambing hitam.” katanya lagi.