Skip to main
Logo Malaysiakini

Pemimpin agama sokong deklarasi bersama Paus Francis, imam besar Indonesia

Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

Deklarasi bersama Paus Francis dan imam Besar Masjid Istiqlal Jakarta, Nasaruddin Umar agar pemimpin agama mengecam keganasan atas nama agama turut sampai ke Malaysia.

Cancelor Roman Katolik Archdiocese Kuala Lumpur Clarence Devadass berkata deklarasi bwrsama itu menandakan langkah signifikan untuk pemimpin agama bersama-sama mengangkat maruah kemanusiaan, dialog antara agama dan perlindungan alam sekitar.

“Mesej jelas yang dibangkitkan deklarasi ini adalah nilai yang dikongsi tradisi agama kita seharusnya dapat diangkat dengan baik untuk menundukkan amalan keganasan.

“Bagi saya, ini peringatan jelas yang agama dan pemimpin agama perlu mempromosikan kebaikan bersama, iaitu keamanan, harmoni dan saling hormat menghormati.

“Agama tidak boleh digunakan untuk menyemai kebencian, perpecahan dan keganasan,” kata Clarence kepada Malaysiakini.

Pada Khamis lalu, Francis dalam lawatannya ke Indonsia bertemu dengan Nasaruddin di Masjid Istiqlal, di mana dia turut berkunjung ke “Terowong Persahabatan” yang menghubungkan masjid terbesa di Asia Tenggara itu dengan gereja Katolik Our Lady of Assumption.

Clarence Devadass

Dalam ucapan di depan pemimpin enam agama yang diiktiraf di Indonesia - Islam, Protestan, katolik, Buddha, Hindu dan Confucianisme - Francis berkata “kita semua bersaudara, semuanya penziarah, semua dalam perjalanan kita menuju Tuhan, melangkaui apa yang membezakan kita.”

Dia kemudian memimpin misa yang dihadiri lebih 85,000 penganut Katolik di seluruh Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno. Ia turut disiar secara langsung di televisyen.

Ditanya berkenaan bagaimana pemimpin semua agama di Malaysia dapat menyambut seruan Francis, Clarence berkata: “Pemimpin agama perlu beralih ke arah mewujudkan ikatan persahabatan dan kesalingan di kalangan agama, dan ini perlu dibuat menerusi teladan.”

“Seringkali kepelbagaian kita hanya jadi slogan…pada pandangan Tuhan, hanya ada satu bahasa, iaitu bahasa kasih sayang. Tiada ruang untuk ketaksuban,” tegasnya.

Sementara itu, bekas setiausaha Majlis Gereja Malaysia Reverend Herman Shastri menyifatkan deklarasi bersama itu sebagai hasil dialog keamanan antara agama antara Vatican dengan pemimpin agama seluruh dunia yang sudah dijalankan selama bertahun-tahun.

Herman Shastri

Di Malaysia, katanya, ada ramai pemimpin Muslim yang progresif yang berpandangan agama perlu menjadi daya keharmonian di negara ini.

Dia membangkitkan Timbalan Presiden Amanah Mujahid Yusof yang ketika menjadi menteri agama pada 2019 menjadi penganjur bersama himpunan solidariti antara agama untuk mengecam tragedi tembakan Masjid Christchurch di New Zealand.

Ketika dihubungi, Mujahid berkata seruan keamanan dan kemanusiaan adalah nilai yang patut menyatukan semua agama.

“Islam ada dua sisi dalam soal hubungan antara agama.

“Yang pertama eksklusif untuk Muslim dalam soal keimanan dan amalan kita, manakala satu sisi lagi merangkumi nilai kemanusiaan yang inklusif,” katanya.

Mujahid Yusof

Dia berkata pada 2004 Malaysia menyokong Amman Message yang digerakkan Raja Jordan Raja Abdullah II bin Al-Hussein, yang antara lain bertujuan “menjelaskan kepada dunia moden berkenaan fitrah sebenar Islam dan fitrah Islam yang sebenar”.

“Jadi, kita perlu terus fokus berkenaan Islam sebagai rahmat seluruh alam, dalam komitmen kita ke arah keamanan,” katanya lagi.

Menurutnya, berbeza dengan Indonesia yang memiliki menteri yang bertanggungjawab terhadap dasar yang memberi kesan kepada enam agama, usaha mengukuhkan hubungan antara agama di Malaysia memerlukan usaha antara kementerian.

Sempena kunjungan Francis, Menteri Agama Indonesia Yaqut Cholil Qoumas bersetuju dengan permohonan jawatankuasa penganjur agar stesen televisyen tidak menghentikan siaran langsung misa bagi memberi laluan kepada siaran azan Maghrib.

Sementara itu, Menteri Perpaduan Negara Aaron Ago Dagang menggesa pemimpin agama untuk memanfaatkan tiga biro di bawah kementeriannya untuk menyelasaikan isu berkaitan keharmonian antara agama.

[Baca berita asal]