Skip to main
Logo Malaysiakini

Sijil halal: Faiz Fadzil, Wan Fayhsal gesa Teresa tarik balik kenyataan

Artikel ini sudah 11 hari diterbitkan

Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Faåyhsal Wan Ahmad Kamal mendesak Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok untuk memohon maaf dan menarik balik kenyataannya berhubung cadangan mewajibkan sijil halal ke atas restoran dan syarikat makanan yang tidak menyajikan daging babi serta alkohol.

“Saya minta Teresa tarik balik, mohon maaf dan kita boleh tutup buku (isu ini). Tapi jika tidak, Pemuda Bersatu akan buat laporan polis di seluruh negara.

“Ini sudah sentuh 3R. Kalau kerajaan tegas dengan pembangkang, (jangan) buat-buat lupa dan buta tentang apa yang Teresa, ahli Parlimen DAP, sudah katakan ini,”l katanya dalam hantaran di Facebook, semalam.

Wan Ahmad Fayhsal

Semalam, Teresa berkata cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan yang tidak menyajikan daging babi serta alkohol mendapatkan pensijilan halal berpotensi menambah beban kepada perniagaan termasuk melibatkan ribuan pengusaha restoran Melayu.

Dia juga berkata langkah itu bertentangan dengan semangat kepelbagaian budaya selain mungkin menjadikan Malaysia sebagai bahan ejekan di luar negara.

Ia selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd Na’im Mokhtar memaklumkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mempertimbangkan cadangan itu.

Mengulas lanjut, Wan Fayhsal berkata orang Islam adalah kumpulan pengguna terbesar dan memiliki kewajiban untuk memastikan makanan yang diambil adalah halal.

“Kami juga boleh ke restoran milik Cina, tiada masalah asalkan halal,” katanya lagi.

‘Tak perlu cepat melatah’

Sementara itu, Setiausaha Agung Amanah Faiz Fadzil menyifatkan cadangan Jakim itu sebagai positif dan tidak bertentangan dengan semangat kepelbagaian budaya mahupun hak beragama mana-mana golongan.

Justeru, dia berkata Teresa tidak seharusnya “cepat melatah”, apatah lagi ia masih di peringkat cadangan.

“Seharusnya penyokong kerajaan menggunakan saluran lain yang lebih sesuai untuk nyatakan pandangan…Teresa perlu tarik balik kenyataannya,” katanya dalam kenyataan.

Faiz Fadzil

Katanya lagi, jika pelaksanaan dasar itu nanti akan melibatkan peningkatan kos kepada peniaga, kerajaan boleh menawarkan inisiatif khusus bagi meringankannya.

Dia turut membangkitkan statistik setakat Julai lalu, yang menunjukkan 57.6 peratus daripada 9,146 syarikat yang memiliki sijil halal Jakim adalah syarikat bukan Bumiputera.

“Cadangan ini, jika dilaksanakan, akan mengangkat industri makanan negara ke tahap lebih tinggi di dalam negara dan di peringkat antarabangsa. 

“Jika tidak, mana mungkin industri halal Malaysia diceburi secara aktif oleh para usahawan Bumiputera dan bukan Bumiputera,” katanya lagi.