Skip to main
Logo Malaysiakini

KOMENTAR | Antara 'wirid' Islam terancam dan M'sia tak liberal

Artikel ini sudah 11 hari diterbitkan

KOMENTAR | Kebelakangan ini kerajaan Madani diserang dari kiri dan kanan. Bagi kelompok liberal kerajaan dilihat tidak cukup Iiberal, manakala bagi kelompok yang mendakwa mereka Islamik, di mata mereka kerajaan hari ini tak cukup Islamik.

Golongan liberal seperti lazimnya menyerang isu berkaitan penempatan pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di setiap kementerian.

Walhal perkara tersebut sudah menjadi amalan sejak 1980-an lagi demi memastikan dasar pentadbiran Islam peringkat persekutuan dirujuk kepada agensi yang diwujudkan atas kuasa Majlis Kebangsaan Hal-Ehwal Islam (MKI) di bawah naungan Majlis Raja-Raja Melayu.

Isu makanan halal pula tidak kunjung padam kerana salah tanggap sebahagian besar masyarakat termasuk umat Islam sendiri bahawa percaya bahawa sesuatu yang tanpa sijil halal secara automatik adalah haram.

Sijil halal adalah proses untuk mendapat kepercayaan supaya pasaran perniagaan sesebuah syarikat boleh menguasai segmen Muslim.

Malah ada syarikat Muslim sendiri yang tidak ada sijil halal namum mampu dapat menembusi pasaran Muslim kerana kepercayaan pengguna.

Mendapat siji halal juga bermakna perlu melalui proses persediaan sesuatu produk yang bukan sahaja halal dari unsur haram tetapi juga bersih dan selamat.

Penangan ustaz selebriti

Sebab itu banyak syarikat bukan Islam mahukan pensijilan halal negara kerana ia memang menepati keperluan keseluruhan pengguna waima dalam kalangan bukan Islam sendiri.

Jadi berhentilah daripada mensensasikan isu ini.

Bagi kelompok yang "tersangat Islam" pula, mata mereka melihat bahawa Madani tak cukup Islam. Kerana itulah mereka mengulang-ulang 'wirid' kononnya Islam terancam di negara ini.

'Wirid' itu pula mudah menangkap pengikut dalam kalangan sesetengah kelompok anak muda yang ditakut-takutkan dengan masa depan Islam kononnya akan terancam di Malaysia. Padahal dakwaan karut tersebut langsung tidak berpijak kepada fakta jika mereka melihat isu tersebut secara adil dan menyeluruh.

Kelompok 'tersangat Islam' itu bergerak dalam parti politik dan didukung tokoh-tokoh serta ustaz selebriti tertentu yang punya pengaruh dan pengikut ramai.

Malangnya kebanyakan pengikut mereka pada masa sama tidak dibekalkan dengan maklumat berdasarkan ilmu-ilmu dasar pentadbiran negara dalam Islam (siyasah syar’iyyah) yang sangat luas dan dipandu prinsip-prinsip dasar dari al-Quran serta sunnah.

Maka tidak hairanlah kalau mereka melawan Madani kerana istilah ini tidak ada dalam kitab-kitab fikah mereka atau dalam kitab-kitab nasihat (mauizah) mereka.

Dan kerana Madani kononnya bukan dari Islam maka ia perlu dijatuhkan, diperlekehkan (dengan pelbagai gelaran atau label) dan ditertawakan sehingga perjuangan 'menegakkan Islam' mengikut kefahaman mereka perlu diteruskan walaupun perlu "mati syahid".

Peliknya pentas ustaz selebriti sebegitu masih boleh berceramah di saluran TV pemerintahan Madani, masjid-masjid pula dibuka luas untuk mereka, selain media sosial dijadikan medium menghemburkan kebencian serta memecah-belahkan masyarakat.

Ada antara mereka masih berceramah di kementerian dan pejabat kerajaan Madani. Ternyata 'budiman sungguh' kerajaan Madani kerana tekal membantu mereka menyebarkan wirid 'Islam terancam'.

Memakmurkan negara tugas semua

Walhasil, Malaysia adalah negara Islam, Yang di-Pertuan Agong adalah ketua agama Persekutuan manakala Raja-raja Melayu menjadi ketua Islam di negeri masing-masing.

Majlis agama Islam, jabatan agama Islam, MKI, Jakim, kemakmuran masjid, akta dan enakmen Islam tetap dipertahankan, pemimpin politik Islam dan dasar-dasar Islam lain terlaksana.

Kebebasan beragama bagi penganut lain dijamin, rumah ibadat bukan Islam terus wujud, sambutan perayaan bukan Islam menjadi ciri lazim kemajmukan Malaysia yang diiktiraf.

Kita hidup dengan penuh keharmonian.

Kasihan perdana menteri apabila dari satu sisi dia dituduh tidak cukup Islam, manakala dai sisi lain dia dikatakan tidak cukup liberal.

Hakikatnya seorang dua di sebelah sini dan seorang dua di sebelah sana berkokok tidak akan mengubah hakikat bahawa Islam adalah ciri kekal untuk negara ini.

Syariat tetap akan terbela dan umat akan senantiasa mempertahankan kemuliaan agama.

Memakmurkan negara adalah tanggungjawab syariat dan hidup secara aman dalam kepelbagaian adalah tuntutan rahmatan lil alamin.

Tidak tahulah saya jika yang tersirat di sebalik wirid 'Islam terancam' itu sebenarnya ada parti yang terasa mereka yang terancam.

Ataupun maksud di sebalik mempertikaikan tentang Jakim dan sijil halal itu tersorok hasrat kebencian tertentu.

Wallahu a'lam bissawab.


MUJAHID YUSOF ialah Timbalan Presiden Amanah dan ahli Dewan Negara.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.