Skip to main
Logo Malaysiakini

Sijil halal: SKMM nafi padam hantaran Akmal

Artikel ini sudah 9 hari diterbitkan

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menafikan bertanggungjawab ke atas hantaran Instagram Ketua Pemuda Umno Dr Muhamad Akmal Saleh yang dipadam.

“SKMM tidak membuat sebarang permintaan untuk menurunkan kandungan berkaitan hantaran Akmal,” kata suruhanjaya itu kepada Malaysiakini.

Terdahulu hari ini, Akmal berkata hantarannya yang menjawab kenyataan Ketua Pemuda DAP Dr Kelvin Yii telah dipadam.

Dalam kenyataan di Facebook, dia meminta Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menjelaskan perkara itu.

Akmal terlibat dengan pertikaian dengan Yii berhubung kenyataan Ahli Parlimen DAP Teresa Kok yang cadangan mewajibkan sijil halal kepada restoran yang tidak menjual daging babi dan alkohol akan menambah beban peniaga.

Dalam hantaran yang dipadam itu, Akmal membalas kenyataan Yii dengan bertanya siapa yang mencetuskan kontroversi berhubung cadangan itu - yang seperti merujuk kepada Teresa.

Dia juga memberitahu Yii untuk “mengajar” pemimpin senior DAP agar beradab dan tidak masuk campur dalam isu Melayu-Islam.

Sebelum itu, Yii berkata Akmal seharusnya membalas pandangan Teresa dengan fakta dan hujah, bukannya dengan kata-kata yang disifatkannya sebagai biadab dan tidak wajar.

Ia selepas Akmal menggelar Teresa sebagai “nyonya tua” dan berkata dia tidak seharusnya masuk campur dalam isu tersebut.

“Kalau kamu tak tahu tentang agama kami, jangan cakap. Kamu diam lebih elok dan saya minta juga kepada kerajaan sediakan satu logo non (tak) halal, tampal dekat dahi nyonya tua ini,” katanya lagi.