Skip to main
Logo Malaysiakini

PSM: K'jaan PH tumbang 2020 sebab kurang runding, disiplin parti

Artikel ini sudah 9 hari diterbitkan

Kurangnya perundingan yang betul dan disiplin parti dalam kerajaan mengenai polisi-polisi yang dilaksanakan merupakan punca keruntuhan kerajaan Pakatan Harapan pada 2020, kata Timbalan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM), S Arutchelvan.

Seperti kerajaan campuran sebelum ini, Arutchelvan berkata PH melaksanakan perkara yang tidak janjikannya dan gagal menunaikan ikrar manifesto reformasi.

"Sekarang, polis sekali lagi dipaksa untuk menyiasat pelbagai laporan polis di bawah isu 3R (kaum, agama, dan raja-raja), sedangkan komen-komen ini hanyalah kebimbangan umum yang dilindungi di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan mengenai kebebasan bersuara.

"Perdana Menteri (Anwar Ibrahim) perlu memastikan kerajaan perpaduannya kekal bersatu," katanya pada satu kenyataan hari ini.

Dia mengulas kenyataan Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengenai Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok.

Semalam, Anwar menjelaskan kenyataan naib pengerusi DAP itu - yang menentang cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan yang tidak menyajikan babi dan alkohol mendapatkan pensijilan halal - tidak mewakili pendirian PH.

Anwar berkata kenyataan Kok mengenai perkara itu telah mencetuskan kontroversi yang tidak perlu dan tidak relevan.

Sehari sebelum itu, Kok berkata cadangan tersebut berpotensi meningkatkan beban kos perniagaan, termasuk ribuan pengusaha restoran Melayu.

Kenyataan itu timbul selepas Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dilaporkan sedang mempertimbangkan cadangan untuk mewajibkan pensijilan halal bagi restoran dan syarikat makanan yang tidak menyajikan babi atau alkohol.

Pada masa ini, tiada undang-undang yang mengkehendaki pengusaha restoran atau syarikat makanan mendapatkan pensijilan halal.

Kritikan Kok terhadap cadangan pensijilan mandatori itu menyebabkan kemarahan dalam kalangan ahli politik konservatif

Antaranya termasuk Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang mendesak Kok memohon maaf dan menarik balik kenyataan itu.

Polis juga sedang menyiasat Kok di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan mengenai "menyebut perkataan-perkataan dan sebagainya dengan sengaja berniat hendak melukakan perasaan agama seseorang."

Ahli parlimen Seputeh turut disiasat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan berhubung kenyataan yang mendatangkan khianat awam "dengan niat hendak menyebabkan atau yang mungkin menyebabkan ketakutan atau kegentaran kepada awam atau kepada mana-mana golongan awam supaya oleh demikian itu seseorang mungkin terdorong melakukan sesuatu kesalahan terhadap negara atau ketenteraman awam."

Selain itu, pemimpin DAP tersebut juga disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia yang meliputi penyalahgunaan kemudahan rangkaian.