Skip to main
Logo Malaysiakini

Perbicaraan 1MDB ditangguh, Najib masuk hospital kerana sakit lutut

Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

Najib Razak dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) kerana sakit pada lutut kanannya, membawa kepada pengosongan perbicaraan kes penyalahgunaan kuasa RM2.27 bilion dan pengubahan wang haram bekas perdana menteri itu.

Perunding kanan ortopedik hospital kerajaan itu Dr Siti Hawa Tahir memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa tertuduh berusia 71 tahun sedang bercuti dari hari ini hingga esok.

Siti memberitahu hakim perbicaraan Collin Lawrence Sequerah bahawa bekas menteri kewangan itu menggunakan opioid, yang menyebabkan dia mengantuk dan tidak dapat mengikuti prosiding mahkamah jenayah.

Pakar yang berpengalaman selama 31 tahun itu menjelaskan bahawa Penjara Kajang merujuk Najib ke HKL apabila Najib mengadu sakit pada lutut kanannya.

Dia berkata HKL mula memberi ubat penahan sakit analgesik kepada Najib kerana dia sensitif terhadap ubat tertentu.

"Dia menggunakan opioid dan dia perlu mengambilnya untuk mengawal kesakitan, jika tidak, dia tidak boleh bangun tanpa masalah.

"Opioid bertindak pada otak, buatkan rasa mengantuk dan kita tahu ini adalah salah satu risiko kesan sampingan ubat itu," kata Siti.

Apabila Sequerah bertanya sama ada Najib boleh menghadiri perbicaraan di atas kerusi roda, Siti berkata tertuduh masih akan mengantuk daripada ubat itu.

Hakim bicara kemudian mengosongkan perbicaraan untuk hari ini dan esok. Prosiding disambung pada Khamis minggu ini.

Sequerah bagaimanapun mengingatkan kedua-dua pihak pendakwaan dan pasukan pembelaan bahawa tarikh perbicaraan tertangguh oleh penangguhan dua hari itu.

Hakim menambah bahawa hujahan lisan akan mempunyai tarikh akhir pada 4 Okt, menyatakan bahawa pada hari itu dia akan bersedia untuk menetapkan tarikh berasingan bagi menyampaikan keputusan sama ada Najib bebas atau perlu membela diri.

Najib dibicarakan atas 25 pertuduhan merangkumi salah guna kuasa dan pengubahan wang haram dana RM2.27 bilion daripada 1MDB.

Bagi empat pertuduhan salah guna kuasa, bekas Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Bhd cawangan Jalan Raja Chulan di Bukit Ceylon, Kuala Lumpur, antara 24 Feb 2011 dan 19 Dis 2014.

Mengenai 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib dikatakan melakukan kesalahan itu di bank yang sama antara 22 Mac dan 30 Ogos 2013.

Tertuduh pertama kali didakwa pada 20 Sept 2018, dan perbicaraan jenayahnya bermula pada 28 Ogos 2019.

Pada 30 Mei tahun ini, pihak pendakwaan menutup kesnya, enam tahun selepas bekas perdana menteri itu pertama kali didakwa pada akhir 2018.

Prosiding itu kini dalam peringkat penghujahan lisan, yang tidak melibatkan keterangan saksi, hanya pasukan undang-undang yang merumuskan sama ada bukti lisan dan dokumentari membabitkan atau membebaskan Najib.

Lima puluh saksi memberi keterangan untuk pendakwaan, termasuk bekas peguam am 1MDB Jasmine Loo.

Loo didakwa sebahagian daripada kalangan orang rapat Low Taek Jho (Jho Low). Low bagaimanapun masih diburu pihak berkuasa.

Pendakwa raya mendakwa Najib menerima RM2.27 bilion yang diselewengkan daripada 1MDB antara 2011 dan 2014.

Bagaimanapun, pasukan pembelaan Najib berhujah bahawa bekas perdana menteri itu tidak mengetahui sebarang salah laku di 1MDB dan sebarang salah laku yang mungkin berlaku adalah didalangi oleh Low dan ahli pengurusan dana itu.

Bekas menteri kewangan itu juga sebelum ini berhujah bahawa allahyarham Raja Abdullah dari Arab Saudi menjanjikan sumbangan kewangan kepada tertuduh untuk tujuan politik.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib.

Najib diwakili peguam bela utama Muhammad Shafee Abdullah.

[Baca laporan asal]