Skip to main
Logo Malaysiakini

Guan Eng: Kes Teresa bukan perkara 3R

Artikel ini sudah 9 hari diterbitkan

Pengerusi DAP Lim Guan Eng berkata kes melibatkan Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok bukan kes melibatkan kaum, agama dan raja (3R) seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak.

Dia berkata demikian sebagai membela Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok berhubung kenyataannya bahawa mewajibkan pensijilan halal bagi restoran akan membebankan perniagaan.

“Daripada segala lapisan masyarakat, orang Islam hingga orang bukan Islam telah menyampaikan pandangan mereka (mengenai perkara itu).

"Seorang ahli parlimen harus diberi ruang untuk menjalankan tugas seperti yang diamanahkan oleh pengundinya," katanya pada sidang media di luar ibu pejabat polis Bukit Aman.

Awal hari ini, Lim dan beberapa penyokong tiba di Bukit Aman pada 9.45 pagi untuk menunjukkan sokongan kepada Kok yang hadir merakamkan kenyataan.

Ahli parlimen DAP itu ditemani peguamnya Syahredzan Johan (Ahli Parlimen Bangi) dan Ramkarpal Singh.

Antara pemimpin DAP lain yang turut kelihatan ialah Ahli Parlimen Cheras Tan Kok Wai dan Ahli Parlimen Bukit Bintang Fong Kui Lun.

Pada Ahad, Ketua Polis Negara Razarudin Husain, yang berkata bahawa lima laporan polis telah dibuat terhadap Kok, mengklasifikasikan perkara itu sebagai menyentuh isu 3R.

Kok disiasat mengikut Seksyen 298 dan 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Semalam, bekas menteri undang-undang Zaid Ibrahim mempertahankan Kok dan membidas DAP yang menurutnya tidak tegas menyatakan sokongan kepada rakan separti mereka sendiri.

Mengulas perkara itu, Lim berkata bahawa Setiausaha Agung DAP Anthony Loke telah mengarahkan badan guaman parti untuk memastikan Kok mendapat pembelaan sewajarnya.

“Dan saya menegaskan sekali lagi bahawa Kok hanya menjalankan tugasnya sebagai ahli parlimen dan tidak buat apa-apa yang salah.

“Kami akan menyerahkan kepada polis dan kami harap semua orang kekal tenang dan profesional,” tambah Lim.