Skip to main
Logo Malaysiakini

Pensijilan halal suatu keperluan, kata PUM

Artikel ini sudah 9 hari diterbitkan

Persatuan Ulama Malaysia (PUM) berpendirian pensijilan halal merupakan suatu keperluan bagi penyelesaian kepada pelbagai kepentingan melibatkan rakyat Malaysia.

Setiausaha Agung PUM, Mohd Roslan Mohd Nor, berkata istilah halal bukan sahaja terpakai ke atas ramuan sesuatu produk, malah merangkumi pelbagai aspek.

"PUM berpendirian bahawa pensijilan halal adalah satu keperluan untuk maslahah rakyat Malaysia, dalam kalangan Muslim dan juga non-Muslim. Malah pensijilan halal Malaysia ini telahpun diiktiraf di peringkat antarabangsa.

"Rakyat Malaysia perlu sedar bahawa beberapa perkataan tertentu seperti no pork, no wine, no alcohol dan sebagainya tidak bermaksud makanan yang disediakan tersebut memenuhi kehendak status halal.

"Hal itu kerana istilah halal bukan sahaja terletak pada ramuan, malah merangkumi semua aspek-aspek yang berkaitan seperti proses, penyediaan, peralatan, bahan dan lain-lain yang memenuhi kehendak halalan toyyiban," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Polemik mengenai isu pensijilan halal tercetus selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar memaklumkan Jakim sedang mempertimbangkan cadangan untuk mewajibkan sijil halal kepada semua restoran yang tidak menyajikan daging babi dan alkohol.

Jadi rujukan utama

Namun ia dibantah Ali Parlimen Seputeh, Teresa Kok, yang menyifatkan ia berisiko menambah beban kepada perniagaan termasuk melibatkan ribuan pengusaha restoran Melayu.

Bantahan itu kemudian mengundang kritikan beberapa pihak, antaranya Ketua Pemuda Umno Malaysia, Akmal Salleh, dan Setiausaha Agung Amanah, Faiz Fadzil.

Kok kemudian menjelaskan gesaan agar ia dikaji terlebih dahulu tidak bermaksud dia tidak menghormati Islam atau mempersoalkan keperluan pensijilan halal.

Menurut Mohd Roslan, kerajaan perlu bertegas dalam mempertahankan pensijilan halal mengikut undang-undang, akta serta enakmen yang sedia ada.

"Buat masa ini, Malaysia telah mempunyai piawaian yang diiktiraf seluruh dunia.

"Bahkan Malaysia dilihat sebagai pelopor kepada perkembangan industri halal di peringkat global.

"Bukan lagi suatu rahsia di peringkat global pensijilan halal khasnya Halal Malaysia dijadikan rujukan utama dalam menentukan kualiti dan keselamatan makanan," katanya lagi.

Oleh itu, tambah Mohd Roslan, tidak wajar bagi mana-mana pihak untuk mempertikaikan dan mengecilkan atau peranan yang telah sekian lama dimainkan oleh Malaysia dalam bidang halal.