Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Pensijilan halal adalah sukarela, ditentukan pasaran

Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

Polemik pensijilan halal berlaku kerana banyak pihak yang memberi pandangan kurang maklumat tentang ide dan konsep pensijilan halal serta keperluannya kepada pengguna dan industri. 

Asasnya bertitik-tolak daripada tuntutan hidup bagi seorang Muslim mestilah bersih dari sebarang syubhah (keraguan kedudukan halal dan haramnya) termasuklah dalam soal makan minumnya. 

Allah berfirman:

"Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepadanya." (al-Baqarah 172)

"Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan; kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu." (al-Baqarah 168)

Tanggungjawab asal kepada penyediaan keperluan halal adalah tanggungjawab individu dan pihak yang menyediakan keperluan tersebut. Syariat telah menetapkan dengan perinci pelbagai aspek dalam menentukan piawaian halal.

 Namun apabila konsumsi manusia semakin rumit dan berkembang termasuk teknologi, soal bahan, punca bahan dan elemennya maka perkara-perkara yang tidak pasti kedudukannya (syubhah) semakin memerlukan panduan dari pihak yang berautoriti.

Keperluan halal dan toyiban (halal, bersih dan selamat) semakin mendesak dengan kesedaran tinggi umat Islam terhadap garis panduan mematuhi kehidupan berpandukan syariat termasuk makan minum. Malaysia telah memulakan inisiatif sejak tahun 1974 dan memperkenalkan sijil dan logo pada tahun 1994 melalui Jakim. 

Keperluan halal telah diinstitusikan dan berfungsi sebagai memenuhi keyakinan pengguna yang ketika itu dibanjiri dengan pelbagai produk F&B (makanan dan minuman) dan bahan makanan di pasaran yang jatuh bawah kategori syubhah.

Berikutnya halal berkembang menjadi satu pasaran besar dan turut dipengaruhi oleh faktor supply and demand (penawaran dan permintaan) dan berkembang bukan sahaja dalam F&B tetapi juga bahan makanan, kosmetik, farmaseutikal mahupun logistik. 

Ekonomi berpandukan keperluan produk Halal kini menguasai pasaran dan dijangkakan akan meningkat kepada RM22.34 trilion menjelang 2030. 

. Halal tidak lagi terhad kepada pemilik industri Muslim tetapa syarikat bukan Muslim lebih banyak terlibat dalam permintaan sijil halal berbanding industri yang dimiliki oleh pemilik Muslim. Pihak yang mensensasikan isu halal telah tersasar jauh dari memahami tuntutan Halal dari sudut keperluan pengguna kini yang lebih prihatin memilih produk yang memberi mereka keyakinan samada dari sudut panduan  agama, selamat dari sudut bahan dan sihat dari sudut kesan fizikal dan mental. 

Keperluan  halal berjaya merentasi batasan agama kepada keperluan pasaran yang meletakkan piawaian safe (selamat), hygien (bersih) dan healthy (sihat).

Saya menyeru semua pihak tidak mempolitikkan isu pensijilan Halal dan tidak menjadikan ia sebagai dorongan kebencian kaum dan agama di negara ini. Tidak timbul soal paksaan atau bebanan, ia adalah asalnya tanggungjawab Muslim yang mahukan keberkatan hidup mematuhi syariat namun keberkatan tersebut kini merentas kepada satu keperluan pasaran yang berkembang pesat dan menguntungkan. 

Hentikan pertikaian yang tidak produktif demi kita mengangkat industri halal negara ke tahap global dan berhentilah dari mencetuskan isu sensitif agama kerana isu halal adalah juga paksi kehidupan umat Islam.


SENATOR MUJAHID YUSOF ialah timbalan presiden Amanah merangkap pengerusi Pakatan Harapan Perak.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.