Skip to main
Logo Malaysiakini

Wan Fayhsal hasrat tanding MPT Bersatu

Artikel ini sudah 12 hari diterbitkan

Ketua Pemuda Bersatu (Armada) Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal hari ini mengumumkan untuk bertanding jawatan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti itu dalam pemilihan yang akan berlangsung nanti.

Keputusan itu diambil selepas dia melepasi had usia untuk terus memegang jawatan dalam Armada Bersatu.

"Saya akan naik ke takuk satu lagi MPT Bersatu, saya akan bertanding di situ, bersama rakan-rakan lain, kami dah habis umur," katanya pada sidang media di Pejabat Perikatan Nasional (PN), Kuala Lumpur, hari ini.

Pada 16 Ogos 2020 Wan Ahmad Fayhsal menang pemilihan ketua sayap Bersatu itu dan menjadi individu yang pertama kali menyandang jawatan melalui pemilihan parti sejak penubuhan Bersatu.

Dia juga dilantik sebagai Timbalan Ketua Pemuda II Perikatan Nasional (PN) sejak penubuhan gabungan tersebut pada pertengahan tahun 2020.

Pada 11 Mac tahun lalu, Wan Ahmad Fayhsal mengumumkan tidak mempertahankan jawatan yang disandangnya ketika ini pada pemilihan akan datang.

Ahli parlimen Machang itu berkata keputusan tersebut diambil susulan dia telah melebihi umur yang sah untuk menerajui sayap parti itu.

Dalam pada itu Ahmad Fayhsal turut mengumumkan barisan yang akan bertanding dalam bagi jawatan kepimpinan Armada.

"Kita juga akan 'endorse' kepimpinan Pemuda yang dah jadi YB ke peringkat lebih tinggi, kita akan bantu dalam pemilihan parti," katanya lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, ketua Pemuda Bersatu itu berkata Presidennya Muhyiddin Yassin juga memuji tindakan sayap parti itu yang memilih jalan musyawarah.

"Armada Bersatu Malaysia menamakan saudara Akmal Zahin Zainal Zahir sebagai calon Ketua Armada Bersatu Malaysia pilihan dan Saudara Cikgu Mohd Faiz Bin Rahmad sebagai Calon Naib Ketua Armada Bersatu Malaysia pilihan.

"Namun, Armada Bersatu Malaysia masih membuka ruang demokrasi jika ada yang masih berminat mencabar bagi pemilihan jawatan tersebut," katanya lagi.

Wan Fayhsal tak gembira

Ditanya mengenai perjanjian persefahaman (MOU) antara pembangkang dan kerajaan, Wan Ahmad Fayhsal berkata dia secara peribadi tidak gembira.

Namun jelasnya arahan telah dikeluarkan untuk tidak mengulas isu itu dan Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainuddin akan mengumumkan pendirian parti.

"Saya diberikan 'gag order' (untuk tidak komen) tetapi kalau tanya saya, saya tak gembira.

“Saya tak rasa kerajaan ini ikhlas nak membantu rakyat susah di kawasan saya, negeri Melayu pembangkang, dianaktirikan, kawasan pengundi Melayu yang pilih PN sebagai wakil rakyat berbanding negeri DAP yang diberi layanan macam anak emas.

"Negeri Melayu miskin seperti Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis dikesampingkan.

"Sebab itu ramai orang susah tak dapat peruntukan untuk disalur kepada rakyat," katanya.