Skip to main
Logo Malaysiakini

Pemandu bas 'crush' murid: Harap kes tak berulang - tinjauan

Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

Pemandu bas sekolah yang dikecam kerana merakam video murid sekolah rendah yang juga penumpangnya dengan merujuk sebagai 'crush' dan 'kesayangan' dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Muar hari ini atas dua pertuduhan mengikut Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak (AKKSTKK) 2017.

Dalam perkembangan berkaitan Malaysiakini menghubungi beberapa orang ibu yang anak mereka masih murid sekolah bagi mendapatkan maklum balas umum berhubung kes terhadap pemandu bas berkenaan.

Seorang ibu kepada empat orang anak Sarmilah Ahmid, 43 tahun berkata kelakuan sebegini tidak boleh diterima sama sekali.

“Ahli keluarga perlu mengutamakan keselamatan anak-anak mereka.

Gambar hiasan.

"Saya faham ada ibu bapa menyuruh anaknya menaiki bas ke sekolah kerana mereka menpunyai masalah pengangkutan tetapi ibu bapa perlu memastikan pemandu bas sekolah adalah selamat bagi anak-anak," katanya.

Sementara itu, Norlaila, 26 tahun dari Selangor berkata undang-undang melindungi privasi seseorang apa lagi kanak-kanak.

“Tidak pasti ibu bapa yang sibuk bekerja peka atau tidak terhadap isu ini," katanya menjelaskan imej orang lain tidak boleh sesuka hati dirakam tanpa persetujuan.

Dalam perkembangan berkaitan, Kanimolly A Arumugham, 48 tahun berkata kejadian sebegini boleh menyebabkan trauma kepada mangsa.

Agama larang aniaya kanak-kanak

Ibu kepada tiga orang anak itu berkata dia bimbang sekiranya kejadian serupa berulang di tempat lain.

“Kejadian sebegini boleh menyebabkan trauma kepada mangsa,” kata Kanimolly ketika dihubungi Malaysiakini.

Dalam pada itu, ibu kepada dua cahaya mata Norzaiwati Md Zin, 54 tahun berkata orang dewasa yang sudah cukup matang perlu berfikir dahulu sebelum melakukan perbuatan sebegini.

Menurutnya agama juga melarang perlakuan yang menganiaya kanak-kanak.

Gambar hiasan.

“Kanak-kanak adalah insan yang belum faham, belum tahu mereka boleh menilai dengan baik tentang sesuatu.

“Sebagai ibu bapa kita mesti peka dengan isu seperti ini dan ibu bapa juga perlu mengingatkan anak-anak tentang perlakuan yang dilarang termasuk rakaman dan sentuhan terhadap anggota tubuh anak-anak.

“Info tentang hal sebegini perlu diberitahu pada anak-anak dengan cara atau kaedah yang sesuai dengan umur anak-anak,” katanya.

Sementara itu, Hue Zhi Ming, 45 tahun memberitahu Malaysiakini pihak sekolah perlu menjalankan saringan latar belakang yang ketat terhadap pemandu bas.

Gambar hiasan.

Ini katanya termasuk memeriksa rekod jenayah, tingkah laku pemandu bas dan memasang kamera pengawasan di dalam bas sekolah.

"Ibu bapa yang bekerja sering risau tentang keselamatan anak-anak mereka kerana mereka sibuk bekerja dan tidak dapat memantau perjalanan anak-anak mereka secara langsung.

"Terutama ketika anak-anak mereka berada di dalam bas sekolah," kata Hue ibu kepada dua orang anak di sebuah sekolah di Selangor.

Menteri arah tindakan

Menurut Nallamah Karuppusamy pula, ibu bapa perlu bertindak segera membuat laporan polis sekaligus memberi sokongan moral kepada anak-anak apabila mereka menghadapi situasi sama dengan kes pemandu bas tersebut.

“Jadi, diharapkan kejadian sebegini tidak berulang sama sekali kerana ia boleh mencetuskan kebimbangan kepada ibu bapa terhadap keselamatan dan privasi anak-anak mereka,” katanya.

Untuk rekod, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Nancy Shukri (gambar bawah) pada 5 Sept mengarahkan Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak di bawah kementeriannya untuk membuat laporan polis terhadap pemandu tersebut yang kemudian telah ditahan reman.

Pagi tadi, dilaporkan pemandu bas yang berusia 24 tahun itu mengalirkan air mata ketika dibacakan pertuduhan melakukan amang seksual dengan mencium pipi kanak-kanak perempuan berusia empat tahun yang juga anak saudaranya.

Atas pertuduhan ini, dia didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak (AKKSTKK) 2017 dan sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan juga sebatan.

Pertuduhan kedua pula, dia didakwa memerhati kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun secara berulang bagi maksud seksual dengan kejadian ini juga berlaku pada waktu dan tempat sama.

Susulan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15 (a) (iii) AKKSTKK 2017 yang sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih 10 tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya.