Skip to main
Logo Malaysiakini

Peraturan basmi hutan EU: M'sia bimbang eksport sawit terjejas

Malaysia bimbang sektor minyak sawit Malaysia masih terkesan dengan Peraturan Pembasmian Hutan Kesatuan Eropah (EUDR) yang akan berkuatkuasa pada 31 Disember ini manakala bagi perusahaan kecil dan sederhana ia akan berkuat kuasa mulai 30 Jun tahun depan.

Ketua Setiausaha Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) Yusran Shah Mohd Yusof dipetik Bernama berkata EUDR berpotensi menjejaskan reputasi dan boleh menyebabkan eksport ke Kesatuan Eropah (EU) sebagai pasaran utama minyak sawit mengalami penurunan.

Yusran (gambar bawah) ketika berucap pada Persidangan Minyak Sayuran Mampan anjuran Majlis Negara-negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC) di Rotterdam, pada Selasa berkata Malaysia secara konsisten melaksanakan langkah proaktif untuk memastikan kelestarian alam sekitar industri minyak sawit dapat memenuhi piawaian dan peraturan pembasmian hutan Eropah.

“Keutamaan kita seharusnya menggalakkan amalan agronomi yang lebih baik dan menambah baik tadbir urus di ekonomi yang kurang maju.

“Dasar mampan, sama ada dikuatkuasakan oleh undang-undang atau diterima pakai secara sukarela, mesti berasaskan sains yang kukuh, penggunaan praktikal merentas rantaian bekalan dan boleh ditentukan kesahan,” katanya.

Peraturan Pembasmian Hutan Kesatuan Eropah (EUDR) bukan saja akan memberi kesan kepada minyak sawit, tetapi komoditi lain seperti kayu, arang, koko, kopi, minyak sawit, getah, soya dan ternakan lembu.

Ia juga termasuk barangan yang diperbuat daripada, mengandungi atau telah diberi makan dengan produk yang dinyatakan di atas, seperti kulit, coklat, perabot dan produk kertas bercetak.

Dengan peraturan itu, sebarang produk yang terbabit dengan penebangan hutan dilarang untuk dieksport ke EU.

Pengeluar hanya boleh mengeksport ke EU jika dapat membuktikan "produk itu bukan berasal dari hutan yang ditebang atau telah membawa kepada kemerosotan hutan" menerusi “penilaian wajar.”

Namun, pakar dilaporkan berkata pelaksanaan UEDR boleh menjejaskan pekebun kecil yang mungkin tidak mempunyai sumber untuk menghasilkan dokumentasi yang diperlukan, menjual hasil tanaman mereka melalui orang tengah dan dalam banyak kes tidak mempunyai hak milik tanah yang jelas.

Pada Feb lalu Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof berkata Malaysia berada di landasan tepat untuk mendapat ‘lampu hijau’ daripada Kesatuan Eropah (EU) bagi mengiktiraf piawaian Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO).

Dalam perkembangan berkaitan, Yusran juga dipetik Bernama berkata industri minyak sawit Malaysia mesti terus menyokong amalan mampan terutama melalui pensijilan MSPO untuk memenuhi permintaan global.

“Walaupun peningkatan pengeluaran adalah penting untuk jaminan makanan dan pertumbuhan ekonomi namun, ia mesti dicapai dengan cara yang melindungi alam sekitar, memelihara kepelbagaian biologi serta menghormati hak dan mata pencarian masyarakat tempatan,” katanya.

Menurutnya lagi Malaysia sedang mengambil tindakan untuk menerajui pengeluaran minyak sayuran yang mampan melalui industri minyak sawitnya.

Pengeluaran mampan bukan sahaja satu keperluan ekonomi malah katanya ia juga tanggungjawab moral dan ekologi yang menjadi faktor utama untuk mewujudkan masa depan yang lebih saksama terhadap alam sekitar.

“Mencari keseimbangan ini penting untuk kesejahteraan generasi kini dan akan datang,” katanya.

Yusran berkata usaha mempromosikan amalan perladangan yang bertanggungjawab serta melindungi biodiversiti dan komuniti tempatan menjadi keutamaan negara.

“Dengan menangani kebimbangan terhadap alam sekitar dan sosial, minyak sawit boleh terus berperanan penting dalam memenuhi keperluan jaminan makanan global," katanya.