Loke tak payah layan hujah Wee, MCA dah kalah - Teng
WAWANCARA | Tiada keperluan Setiausaha Agung DAP Anthony Loke bertelagah dengan MCA kerana ia tidak berbaloi, kata bekas ahli jawatankuasa pusat DAP Teng Chang Khim.
Pada satu temu bual bersama Malaysiakini, dia merujuk kepada peribahasa Cina yang bermaksud “jeneral yang tewas tidak layak bercakap mengenai keberanian.”
“Tidak kira jika mereka (MCA) berkata lebih banyak atau dengan lebih tegas. Kamu (Loke) hanya perlu fokus pada apa yang perlu dilakukan dan tidak risau tentang MCA kerana mereka sudah kalah.
“Pemenang mesti ada sikap berbesar hati. Hinaan kamu (MCA) tidak penting kerana saya sudah menang. Selagi apa yang saya lakukan betul dan disokong oleh rakyat, saya akan teruskan.
"Inilah sikap yang sepatutnya," kata Teng.
Dia menjelaskan Loke - yang juga menteri pengangkutan - harus bersikap profesional menangani isu-isu yang dibangkitkan oleh Presiden MCA Wee Ka Siong yang juga bekas menteri pengangkutan dalam mengenal pasti serta menyelesaikan masalah kementerian tersebut.
"Saya rasa pendekatan ini lebih berkesan. Jangan rendahkan isu nasional kepada perbalahan lisan antara parti politik tetapi angkat ia menjadi perbincangan tentang bagaimana menyelesaikan masalah negara,” katanya.
Berhubung perang propaganda dengan MCA, Teng berkata ia lebih baik diserahkan kepada mesin publisiti parti dan akhbar DAP The Rocket.
Teng bercakap semasa temu bual untuk podcast bahasa Cina Malaysiakini yang disiarkan di YouTube, Spotify dan Apple Podcasts malam tadi.
Ketika diminta mengulas prestasi Loke sebagai setiausaha agung DAP, dia berkata masih terlalu awal untuk menilai kerana ahli parlimen Seremban itu baru memegang jawatan tersebut kurang dari tiga tahun.
Bagaimanapun, dia memuji Loke berkata prestasinya setakat ini memuaskan.
"Pendahulunya (Lim Guan Eng) berkhidmat selama 18 atau 19 tahun. Membandingkan kedua-duanya akan tidak adil kerana Loke baru sahaja memegang jawatan selama dua (setengah) tahun.
“Tetapi jika kita lihat hanya pada dua tahun ini, saya rasa prestasinya sudah cukup baik. Lagipun, dia telah berkhidmat sebagai setiausaha organisasi (DAP) selama bertahun-tahun, jadi dia mempunyai sokongan akar umbi yang kukuh dan berpengalaman dalam menangani pertikaian.
“Mungkin perkara seterusnya yang perlu kita lihat adalah arah tuju dan dasar parti pada masa hadapan, termasuk dasar kerajaan,” katanya.
Teng juga memuji pendekatan Loke yang stabil dan pragmatik serta kurang bersikap agresif yang ingin melawan dalam segenap hal.
“Setakat ini, tiada apa yang boleh dikritik tentang dia sebagai setiausaha agung […] Kamu mungkin bersetuju atau tidak dengan beberapa tindakannya, tetapi itu perkara biasa.”
Baru-baru ini, Loke dan Wee sekali lagi bertelagah berhubung isu teknikal yang melanda pesawat Malaysia Airlines (MAS). Loke menuduh Wee mencetuskan "panik" manakala Wee menggesa dia bertenang "relakslah brother."
Pada April, Loke secara terbuka berkata dia bukan tidak menyukai Barisan Nasional tetapi tidak suka MCA.
Kenyataan yang mencetuskan maklum balas pemimpin MCA itu dikeluarkan Loke ketika muncul dalam podcast Keluar Sekejap yang dihoskan oleh bekas pemimpin Umno Khairy Jamaluddin dan Shahril Hamdan.’
MCA kerap kritik DAP, k’jaan
Selepas pilihan raya umum 2022, MCA menyertai kerajaan gabungan sebagai parti komponen BN tetapi tidak memegang sebarang jawatan kabinet.
Sepanjang dua tahun lalu, MCA kerap mengkritik kerajaan, terutamanya menyasarkan DAP.
Teng berkata MCA sepatutnya bermuhasabah diri dengan ikhlas untuk merangka hala tuju dan visi baru bagi memperbaharui tekad, daripada terus melancarkan serangan terhadap DAP yang digambarkan Teng sebagai “syiok sendiri”.
“MCA sepatutnya menilai kesilapan mereka dengan jujur, mengakui kesilapan lalu dan membentangkan dasar baru kepada pengundi untuk memenangi kembali sokongan masyarakat Cina, bukannya asyik mencari kesalahan DAP.
"(Apabila MCA) mengatakan ‘kamu (DAP) mengulang kesilapan yang pernah kamu kritik kami lakukan sebelum ini’ – (maka persoalannya) adakah pendekatan itu berkesan?”
Menyentuh isu lain, Teng - yang juga bekas speaker Dewan Undangan Negeri Selangor - bersetuju keputusan Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul dan Speaker Selangor Lau Weng San untuk menolak permintaan mengisytiharkan kerusi wakil rakyat Bersatu yang menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebagai kosong.
Dia percaya keputusan Johari dan Lau selaras dengan keperluan undang-undang.
Namun, dia mencadangkan agar speaker Dewan Rakyat itu mencontohi hakim dengan memberikan alasan bertulis dan asas undang-undang menolak kekosongan kerusi tersebut untuk meningkatkan kewibawaan institusi parlimen.
Sementara itu, Teng juga mengulas mengenai penggunaan Akta Hasutan 1948 oleh kerajaan untuk menyiasat dan mendakwa pemimpin pembangkang.
Dia berkata buat masa ini undang-undang tersebut masih diperlukan untuk mengawal situasi tertentu dan mencegah retorik ekstrem dan berbaur hasutan.
Dia menjelaskan walaupun PH berikrar memansuhkan Akta Hasutan 1948, terdapat keperluan untuk "pengorbanan strategik jangka pendek".
Buat masa ini, katanya kerajaan perlu meminda undang-undang tersebut untuk menjelaskan beberapa peruntukan yang samar.
“Semua orang perlu bersabar. Saya percaya kerajaan sekarang tidak berniat untuk menyekat kebebasan bersuara, sebab itulah kita melihat banyak ucapan yang sepatutnya tidak berlaku,” katanya.
[Baca berita asal]
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai