Skip to main
Logo Malaysiakini

LFL: Sudah 105 hari keadilan gagal ditegakkan untuk pemandu OKU

Artikel ini sudah 9 hari diterbitkan

Kes Naib Pengerusi DAP Teresa Kok nampaknya turut berjalan dengan pantas, sama seperti kes Akta Hasutan Pengerusi PN Muhyiddin Yassin, menurut penasihat Lawyers for Liberty (LFL) N Surendran.

Namun, perkara sama tidak berlaku kepada kes pemandu e-hailing OKU, Ong Ing Keong yang diserang oleh seorang polis pengiring Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, katanya.

Surendran berkata demikian ketika mengulas kenyataan Ketua Polis Negara Razarudin Husain semalam bahawa kertas siasatan terhadap Kok berkaitan kenyatannya berkenaan cadangan mewajibkan sijil halal, dijangka dihantar ke Pejabat Peguam Negara (AGC) dalam tempoh 48 jam.

“Sudah tiga setengah bulan sejak Ong diserang dan dicederakan oleh seorang pegawai polis.

“Sejak hari pertama lagi, polis tahu siapa pelakunya. Video dashcam yang merakam serangan itu diserahkan kepada polis pada hari kejadian. 

“Apa justifikasi yang mungkin ada atas kegagalan mendakwa pelaku dan sesiapa yang bersubahat dengannya atau cuba menutup kes ini?” soalnya kepada Malaysiakini.

Ong Ing Keong

Surendran juga membangkitkan Pejabat Perdana Menteri yang “membisu” berhubung memorandum yang telah dihantar LFL dan Ong, yang antara lain menggesa suruhanjaya siasatan ditubuhkan.

“Kami selaku peguam Ong hantar surat itu kepada peguam negara namun kekal tidak dijawab sehingga hari ini.

“Namun, cukup berbeza dengan tindakan amat pantas ke atas Muhyiddin, yang didakwa hanya dalam tempoh tujuh hari. Kes Kok juga nampaknya bergerak dengan kelajuan yang sama.

“Kenapa ada perbezaan dalam pengendalian kes Muhyiddin dan Kok dengan kes Ong?” soalnya lagi.

Bagi Surendran, kegagalan untuk bertindak selepas 105 hari serangan itu didakwa berlaku telah menjejaskan kewibawaan pentadbiran keadilan di Malaysia.

“Ia satu penafian terhadap kedaulatan undang-undang yang menyatakan setiap warga berhak mendapat perlindungan sama di bawah undang-undang. Di mana perlindungan untuk seorang OKU yang dipukul dengan tidak sepatutnya ketika dia sedang bekerja?

“Penangguhan atau kegagalan untuk mendakwa pesalah ini tidak dapat difahami, tidak dapat diterima dan tidak dapat dimaafkan,” katanya lagi.

Tiada kemas kini

Pada 28 Mei lalu, Ong, 48, dipukul di bahagian muka di luar sebuah hotel di Kuala Lumpur oleh seorang polis pengiring.

Ong juga dikatakan menandatangani empat laporan polis, dengan Pertubuhan Kebajikan dan Advokasi Pekak Malaysia (Dawn) mendakwa tiga daripadanya disediakan oleh polis sendiri.

Setakat ini, polis tidak memberi kenyataan berhubung dakwaan itu dan tidak jelas jika ia disiasat di peringkat dalaman.

Terdahulu, media melaporkan kertas siasatan telah dihantar kepada AGC sebanyak dua kali - pada 5 Jun dan 27 Julai - namun tiada perkembangan terbaru dimaklumkan sejak itu.