Skip to main
Logo Malaysiakini

Sijil halal: PM minta laporan lengkap dibentang minggu depan, kata Fahmi

Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah meminta laporan berkaitan isu pensijilan halal dan mahukan ia dibentang dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada minggu depan, menurut Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil hari ini.

Fahmi berkata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na’im Mokhtar telah diminta untuk menyediakan laporan berkenaan isu itu dan melihat langkah-langkah yang boleh diambil seterusnya.

“Isu pensijilan halal memang dari semasa ke semasa akan dibincangkan terutama dari segi pelaksanaan, tetapi dari segi dasar kita perlu tunggu pembentangan oleh Menteri (Hal Ehwal) Agama minggu depan,” katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini.

Pada 6 Sept, Mohd Na'im dilaporkan berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sedang mempertimbangkan cadangan untuk mewajibkan pensijilan halal bagi restoran dan syarikat makanan yang tidak menyediakan hidangan daging babi dan alkohol.

Isu itu mencetuskan kontroversi apabila ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok dilaporkan berkata pelaksanaan pensijilan halal seharusnya bersifat sukarela, bagi membolehkan pengusaha membuat keputusan berdasarkan permintaan pasaran, bukan secara paksa.

-Bernama