Skip to main
Logo Malaysiakini

Sijil halal: Panggil semua, termasuk DAP duduk bincang - Mufti

Mufti Kelantan Mohamad Shukri Mohamad menggesa semua pihak agar menghentikan polemik mengenai pensijilan halal secara terbuka kerana akhirnya merugikan Islam.

"Saya lebih suka kita tak payah polemik isu secara terbuka ia tak menguntungkan Islam. Saya melihat bila terbuka kepada awam ia tidak bawa kepada kebaikan, tapi keburukan kepada Islam.

"Sepatutnya kita bawa kepada orang tertentu yang ada kemampuan berbincang," katanya kepada Malaysiakini.

Dia juga menasihatkan semua pihak, termasuk DAP untuk duduk berbincang bersama Jabatan Kemajuan agama Islam (Jakim) yang menguruskan pensijilan halal.

"Bila hal Islam kita buka pada umum yang patut berbincang (pihak berautoriti) tak berbincang, yang tak patut berbincang pula berbincang.

"Saya ingat dalam isu ini, DAP ke apa, panggil semua duduk semeja. Perlu ada rundingan, ada penjelasan.

“Kenapa perlu hebah kepada surat khabar," soalnya.

Mohamad Shukri diminta mengulas kenyataan Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan yang berpendapat kedai makan milik bukan Islam tanpa sijil halal tidak perlu menerima pelanggan Islam.

Pandangan Takiyuddin itu susulan kenyataan Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok sebelum ini yang menyoal cadangan mewajibkan restoran bukan Islam yang tidak menyediakan babi dan arak memiliki sijil halal Jakim.

"Dengan kata lain, restoran dan kedai makan milik orang bukan Islam tidak seharusnya menerima pengunjung beragama Islam ke premis mereka tanpa sijil halal.

"Mereka juga tidak boleh dibenarkan 'memberi gambaran' bahawa produk yang ditawarkan boleh dinikmati oleh orang Islam," kata pemimpin PAS itu.