Semak fakta: MyKad tak dicetak di China, Guan Eng tak terlibat
Satu hantaran yang tular di TikTok yang mendakwa kedutaan Malaysia di Cina mencetak MyKad dan bekas menteri kewangan Lim Guan Eng ada kaitan dengannya adalah tidak benar.
Semakan yang dibuat oleh MyCheck mendapati semua permohonan MyKad perlu dibuat melalui Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di Malaysia, yang kemudiannya memproses dan mencetaknya juga di Malaysia.
MyCheck juga mendapati warga Malaysia yang tinggal di luar negara perlu pulang ke tanah air untuk memohon MyKad, sama ada permohonan baru mahupun untuk menggantikan kad yang rosak atau hilang.
Pada 7 September lalu, JPN turut mengesahkan semua permohonan dan pencetakan Mykad dibuat di Malaysia.
“Rakyat Malaysia yang tinggal di luar negara juga perlu kembali ke Malaysia sama ada untuk membuat permohonan MyKad kali pertama (apabila masuk usia 12 tahun) mahupun gantian Mykad yang rosak atau hilang,” katanya dalam kenyataan.
Hantaran anti-DAP
Dakwaan berkenaan pengeluaran MyKad di luar negara itu dibuat oleh seorang pengguna TikTok bernama @putihwhite01, yang turut menggesa siasatan dilakukan ke atas perkara itu.
Hantaran itu telah menerima lebih 13,000 tanda suka, 3,000 komen dan dikongsi lebih 4,000 kali. Lebih 2,000 pengguna TikTok menyimpan video itu.
Semakan Malaysiakini pada 12 September mendapati hantaran itu tiada lagi di akaun @putihwhite01.
Akaun itu hanya memiliki 29 pengikut dan memuat naik tujuh hantaran, yang kebanyakannya mengkritik pentadbiran Anwar Ibrahim dan DAP.
Satu video mendakwa “DAP tawarkan tanah Melayu kepada orang Cina” dan memaparkan kompilasi video ceramah pemimpin parti itu, Nga Kor Ming di acara politik.
Namun video itu sebenarnya memaparkan ucapan Nga berhubung janji untuk memberikan status pegangan bebas untuk kampung baru di Perak.
Nga tidak “menawarkan tanah Melayu kepada Cina’, seperti yang didakwa dalam video itu.
Ada sedutan ucapan Nga yang tertera tahun 2018, manakala sedutan ucapan lain tidak diketahui bila.
Pada Ogos 2018, Nga selaku pengerusi DAP Perak mengeluarkan kenyataan menggesa kerajaan negeri memberikan status pemilikan kekal (pegangan bebas) atau 999 tahun untuk kampung baru, seperti yang dijanjikan dalam manifesto PH untuk PRU14.
Menteri Besar Perak ketika itu, Ahmad Faizal Azumu berkata kerajaan negeri tidak dapat memberikan status itu kerana ia bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.
Malaysiakini dan MyCheck adalah sebahagian daripada JomCheck, sebuah kumpulan pemeriksa fakta.
Melalui JomCheck, rakyat Malaysia boleh mengemukakan permohonan untuk menyemak fakta yang didakwa dengan menghantar mesej WhatsApp ke talian 017-477 6659 (teks WhatsApp sahaja, tiada panggilan) atau melalui pautan ini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai