Skip to main
Logo Malaysiakini

13 kanak-kanak disyaki mangsa liwat, 4 lelaki disiasat - IGP

Seramai 13 penghuni rumah kebajikan yang bernaung di bawah syarikat Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH) dipercayai menjadi mangsa liwat selepas 172 daripada 392 mangsa eksploitasi berkenaan melalui saringan kesihatan, maklum Ketua Polis Negara Razarudin Husain.

Ini katanya berdasarkan laporan polis dan soal siasat yang dijalankan pihaknya menerusi Op Global, bermula 2 September lalu.

"Pada awalnya, laporan polis diterima di Negeri Sembilan dan Selangor, terdapat empat mangsa mendakwa diliwat.

"Dalam fasa kedua siasatan, kita menemu bual mangsa dan mendapati sembilan lagi dipercayai menjadi mangsa liwat," katanya pada sidang media di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur hari ini.



Razarudin berkata polis telah membuka empat kertas siasatan terhadap empat lelaki yang disyaki melakukan perbuatan berkenaan mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Pada 11 Sept lalu, polis melalui Op Global menyerbu premis GISBH sekitar Selangor dan Negeri Sembilan.

Serbuan dibuat selepas polis menerima laporan pada 2 September lalu berhubung dakwaan pengabaian kanak-kanak, amang seksual dan perbuatan cabul terhadap kanak-kanak di rumah penjagaan dipercayai milik GISBH di Negeri Sembilan dan Selangor.

Ketika itu, Razarudin berkata polis berjaya menyelamatkan 402 kanak-kanak berusia antara tujuh bulan hingga 17 tahun.

Op Global melibatkan 705 pegawai dan anggota polis dan dibantu 287 kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat, Kementerian Kesihatan dan Jabatan Kimia.

GISBH ditubuhkan oleh bekas ahli-ahli kumpulan Al-Arqam yang telah diharamkan kerajaan.

Namun, syarikat itu sebelum ini beberapa kali menafikan sebarang perkaitan dengan kumpulan itu.