Loke perlu bangkitkan kes serangan OKU dalam kabinet - Zaid
DAP mempunyai rekod cemerlang dalam memperjuangkan nasib golongan terpinggir berbanding parti-parti lain, justeru setiausaha agungnya sekarang perlu meneruskan amalan itu, kata Zaid Ibrahim.
Bekas menteri undang-undang itu menggesa Anthony Loke memastikan kes serangan membabitkan OKU pekak, Ong Ing Keong mendapat pembelaan.
Zaid mengulas jawapan jurucakap kerajaan, Fahmi Fadzil yang dianggap mengecewakan ketika ditanya apakah kabinet telah membincangkan kes serangan terhadap pemandu e-hailing itu.
“Dalam keadaan biasa, ini tidak sepatutnya menjadi isu. Kerana sistem keadilan sepatutnya berfungsi sendiri tanpa campur tangan kerajaan.
“Tetapi ini nampaknya tidak berlaku dalam kes Ong, memaksanya merayu kepada perdana menteri, yang walaupun sering berkeliling dunia untuk bercakap tentang keadilan, masih berdiam diri,” katanya kepada Malaysiakini.
Zaid menggesa Loke mencontohi langkah pendahulunya, Lim Guan Eng, yang pernah dipenjarakan kerana mempertahankan seorang gadis bawah umur.
Pada tahun 1998, Lim dijatuhi hukuman penjara di bawah Akta Hasutan 1948 selepas didapati bersalah kerana menyebarkan dakwaan bahawa ketua menteri Melaka ketika itu, Rahim Tamby Chik, merogol seorang gadis bawah umur.
Zaid menegaskan adalah penting untuk Loke menunjukkan kepada rakyat Malaysia bahawa “semangat perjuangan belum padam” sejak DAP menjadi sebahagian daripada kerajaan.
“Kita bercakap tentang DNA dan etos DAP. Inilah sebabnya orang ramai menyokong DAP. Mereka tidak mahu melihat ia berubah menjadi seperti MCA atau MIC.
“MCA dan MIC adalah 'adik kecil' Umno dari segi bilangan kerusi. Tetapi DAP mempunyai jumlah kerusi terbanyak berbanding parti lain dalam kerajaan perpaduan.
“DAP mesti menunjukkan kekuatannya untuk memastikan kuasa dan jawatan tidak melemahkan janji-janji lantang mengenai ‘reformasi, keadilan, tadbir urus yang baik dan kesaksamaan’ yang diangkat untuk meraih undi,” katanya.
Justeru, Zaid menggesa Loke, yang juga menteri pengangkutan, untuk membawa kes Ong ke mesyuarat kabinet akan datang dan menuntut jawapan.
“Sudah lebih 100 hari sejak serangan itu berlaku. Terdapat bukti video yang jelas serta dakwaan cubaan untuk mengubah laporan polis.
“Jadi, apa yang melambatkan proses ini? Loke, Ong bergantung kepada anda,” tambahnya.
Pada 28 Mei, pemandu berusia 48 tahun itu ditumbuk di muka di luar sebuah hotel di Kuala Lumpur oleh seorang anggota polis yang mengiringi Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Sebelum ini, dilaporkan bahawa kertas siasatan telah diserahkan kepada AGC sebanyak dua kali - pada 5 Jun dan 27 Julai - tetapi tiada perkembangan sejak itu.
Tunku Ismail sendiri menggesa polis menjalankan siasatan menyeluruh, dengan menyatakan bahawa dia tidak membenarkan perbuatan yang melanggar undang-undang.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai