Skip to main
Logo Malaysiakini

Kematian banduan tiada unsur cuai, jenayah - Mahkamah Koroner

Mahkamah Koroner hari ini memutuskan tiada unsur kecuaian atau elemen jenayah dalam kes kematian banduan, K Roopan yang meninggal dunia tiga tahun lalu.

Koroner Rasyitah Ghazali berkata K Roopan meninggal dunia kerana faktor semula jadi iaitu akibat trombosis vena.

Justeru katanya pihak Penjara Kajang dan Hospital Kajang, tidak memikul tanggungjawab terhadap kematian banduan berkenaan.

“Mendiang mengalami obesiti, dengan berat 88kg, tinggi 171cm dan BMI (indeks jisim badan) 30.1 .

“Hasil bedah siasat menunjukkan mendiang tidak banyak bergerak ketika dalam tahanan, dan terdapat risiko darah beku.

"Tiada kecuaian daripada Penjara Kajang dan Hospital Kajang. Mendiang meninggal dunia atas sebab semula jadi dan kematian akibat embolisme pulmonari pada kaki kiri si mati," kata Rasyihah.

Koroner menyatakan bahawa bilik kuarantin di Hospital Kajang di mana Roopan ditempatkan sebelum kematiannya tidak kondusif kerana peredaran udara yangkurang baik dan keadaan yang kotor.

Selepas prosiding, bapa saudara si mati K Sevakumar, 51, melahirkan rasa sedih atas keputusan itu.

Tambahnya, mereka sekeluarga akan berbincang dengan peguam mereka T Shashi Deva mengenai tindakan seterusnya.

Sementara itu, peguam berkata keluarga berkenaan telah memfailkan saman sivil berasingan terhadap Hospital Kajang di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Jun lalu.

Laporan bercanggah

Pada 17 Jun 2021, keluarga banduan berusia 25 tahun itu menerima panggilan bahawa dia dihantar ke Hospital Kajang kerana mengalami sesak nafas.

Dua hari selepas itu, keluarganya dimaklumkan bahawa Roopan mengalami jangkitan jantung dan perlu dimasukkan ke wad selama lima hingga enam hari.

Dia dibenarkan keluar dari hospital pada 21 Jun.

Selepas keluar dari hospital, Roopan dilaporkan tidak sedarkan diri kira-kira jam 11.30 pagi ketika berada di bilik pengasingan di Penjara Kajang.

Dia dikejarkan kembali ke Hospital Kajang dan disahkan meninggal dunia pada 12 tengah hari - kira-kira sejam setengah sebelum keluarganya menghubungi hospital untuk melakukan lawatan.

Keluarganya hanya dimaklumkan mengenai kematian banduan itu sekitar jam 2 petang.

Ketika keluarga melawat rumah mayat, seorang inspektor polis dilaporkan memberitahu mereka bahawa Roopan disahkan positif Covid-19, yang mereka dakwa bercanggah dengan laporan hospital sebelum ini.