Skip to main
Logo Malaysiakini

Anwar perli Hadi: Dia seorang saja kuat

Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyindir Presiden PAS Abdul Hadi Awang yang mendakwa pimpinan Melayu-Islam dalam kerajaan sebagai lemah hingga menyebabkan 'orang bukan Islam naik kepala'.

“Tak apalah, dia sorang saja kuat,” kata Anwar ringkas kepada pemberita selepas solat Jumaat di Kampung Desa Putra, Sungai Merab, Kajang, sebentar tadi.

Dakwa Hadi, pemimpin Melayu-Islam dalam kerajaan mereka tiada keupayaan “menyebabkan Islam tiada kehebatan.”

“Sehingga kita saksikan berlakunya isu-isu yang sangat mendukacitakan. Isu-isu orang bukan Islam berani bercakap attack Islam, berani bercakap perkara orang Islam.

“Yang mutakhir ialah isu murtad, halal dan haram,” tuduh Hadi ketika menyampaikan amanat sempena Muktamar Pemuda PAS ke-65 di Kerdau, Temerloh, semalam.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok menjelaskan dia tidak mempertikaikan hukum halal dan haram Islam.

Katanya, dia membantah cadangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar untuk mewajibkan semua premis makanan yang tidak menyajikan daging babi atau alkohol mendapatkan sijil halal.

Teresa berkata cadangan itu akan membebankan kos perniagaan, termasuk peniaga kecil dan penjaja Melayu serta boleh menjejaskan imej Malaysia di peringkat antarabangsa.

Susulan daripada kenyataan tersebut, 50 laporan polis dibuat terhadap Teresa, yang kini disiasat di bawah Kanun Keseksaan serta Akta Komunikasi dan Multimedia.