Skip to main
Logo Malaysiakini

PM arah siasat segera isu GISBH, jangan lengahkan

Perdana Menteri Anwar Ibrahim mahu siasatan membabitkan Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH) disegerakan.

Kata Anwar, isu itu penting diselesaikan segera kerana melibatkan akidah serta membabitkan dakwaan serius termasuk penyalahgunaan kuasa, penyalahgunaan nama agama dan penderaan kanak-kanak.

“Ramai yang tanya mengapa ada kelewatan dan kelengahan dalam mengambil tindakan.

“Jadi saya telah membawa kepada badan (pihak berkuasa) ini supaya ambil tindakan segera siasatan dan laporan,” katanya kepada pemberita selepas solat Jumaat di Kampung Desa Putra, Sungai Merab, Kajang, hari ini.

Kelmarin media melaporkan pihak berkuasa menyelamatkan 402 kanak-kanak berusia setahun hingga 17 tahun disyaki menjadi mangsa eksplotasi, pengabaian dan penganiayaan di premis dipercayai milik GISBH, dalam serbuan di sekitar Selangor dan Negeri Sembilan.

Ketua Polis Negara Razarudin Husain mendakwa kanak-kanak di premis berkenaan menjadi mangsa liwat selain diajar meliwat.

GISBH menafikan dakwaan berkenaan mahupun kaitan dengan premis yang diserbu.

Dalam perkembangan terbaru, Razarudin hari ini berkata seramai 13 penghuni rumah kebajikan yang bernaung di bawah syarikat GISBH dipercayai menjadi mangsa liwat selepas 172 daripada 392 mangsa eksploitasi berkenaan melalui saringan kesihatan.

Ini katanya berdasarkan laporan polis dan soal siasat yang dijalankan pihaknya menerusi Op Global, bermula 2 September lalu.

Dalam perkembangan sama hari ini, Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin mendakwa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) lambat bertindak terhadap isu penyelewengan akidah membabitkan GISBH.

Mohd Asri mendakwa isu berkaitan GISBH telah dibentangkan kepada Jakim sebelum ini, namun mereka tidak melakukan tindakan.

Sementara itu, Anwar hari ini berkata dia menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan penuh berhubung isu berkenaan.

“Biar polis buat siasatan dan tindakan mengikut undang-undang dan pihak majlis agama terutama Majlis Agama Islam Wilayah (Maiwp) dan saya tengok Jais (Jabatan Agama Islam Selangor) terutama Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) ada kekuatan penyiasatan, penyelidikan serta diberikan nasihat.

“Jadi ada saluran dan jangan lengahkan,” katanya.