Menteri: Adakah wajar anggap banjir besar di Kelantan bala Allah?
Merujuk kepada banjir besar zaman Nabi Nuh AS, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa menyoal jika sesuai untuk menggambarkan banjir di Kelantan sebagai "bala tuhan" juga.
"Surah Al-Ankabut yang dipetik pemuda PAS tersebut itu pun penuh dengan kisah yang pelbagai, di antaranya kisah banjir besar di zaman Nabi Nuh AS.
"Justeru adakah wajar untuk kita katakan banjir besar yang pernah melanda Kelantan suatu ketika dahulu adalah bala yang Allah turunkan atas kesalahan mungkin beberapa pimpinan PAS Kelantan?
"Jika musibah berlaku terhadap diri sendiri atau negeri yang diperintah PAS maka ia dikatakan ujian tetapi jika musibah di negeri selainnya dikatakan bala pula," katanya.
Perwakilan Pemuda PAS Kawasan Machang Mohd Sharif Mohd Azhari (gambar atas) sebelum ini mendakwa kejadian lubang benam di Kuala Lumpur sebagai bala Allah SWT.
Zaliha gesa PAS belajar menjadi pembangkang yang lebih konstruktif daripada menggunakan agama sebagai alat.
"Saya juga mahu mengingatkan agar berhujahlah dengan sesuatu yang benar, kena rajin-rajinlah membaca dan cari fakta…
"Hujah yang dangkal hanya menunjukkan dangkalnya juga cara kita berfikir," tambahnya.
Berhubung dokumentari mengenai KLCC yang disebut, Zaliha berkata pembinaan menara berkembar tersebut masih dianggap sebagai "kajian kes" tentang bagaimana teknologi boleh digunakan untuk pembinaan di atas "tanah lembut."
"Maka ini adalah suatu pencapaian dalam dunia pembinaan dan ianya berlaku di Malaysia," kata Zaliha.
Bagaimanapun Mohd Sharif mendakwa kejadian lubang benam itu juga boleh terjadi susulan apa yang dibuat oleh Menteri Wilayah Persekutuan dan pembinaan Menara Berkembar Petronas (KLCC) di Kuala Lumpur.
Malah menurutnya, dia memperolehi maklumat melalui dokumentari pembinaan KLCC yang diterbitkan oleh National Geographic.
“Itu ambo (saya) tengok National Geographic semasa dia buat (KLCC).
“Dalam National Geographic itu, dia tunjuk dia kata masa nak buat peringkat awal, ada satu bahagian memang tak sepatutnya KLCC boleh dibina di situ," dakwa ahli PAS itu.
Terdahulu, Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan turut mengecam perwakilan PAS kerana "melampaui batas" dengan melibatkan DAP dalam hujah tersebut.
"Tidak patut mana-mana pihak ambil kesempatan ke atas tragedi lubang benam, atau mana-mana tragedi atau musibah, untuk menyerang seteru politik mereka.
"Sebagai ahli politik muda, sepatutnya perwakilan tersebut membawa politik baharu untuk bersaing dengan sihat dan memainkan peranan semak dan imbang terhadap Kerajaan.
"Malangnya, PAS sekali kali membuktikan bahawa mereka masih terperangkap dengan polemik dan retorik politik lapuk dan melampau,” katanya pada hantaran di X.
Syahredzan mengulas perwakilan PAS yang menuduh “kejahatan” DAP perlu dibendung.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai