Skip to main
Logo Malaysiakini

Zahid: Calon BN pernah bersekolah Cina

PRK MAHKOTA | Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi berkata calon partinya bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Mahkota pernah bersekolah di sekolah vernakular Cina.

"Beliau mempunyai pemahaman yang mendalam terhadap budaya, bahasa dan juga mindset orang Cina,” katanya kepada wartawan di Dewan Tunku Ibrahim Ismail, pusat penamaan calon bagi pilihan raya tersebut.

Sekitar 35 peratus pengundi Cina di Mahkota manakala 54 peratus Melayu dan lapan peratus lagi pengundi India.

Ketua Pemuda Umno Kluang Syed Hussien Syed Abdullah menjadi calon BN pada PRK DUN Mahkota yang akan bermula hari ini selepas proses penamaan calon selesai.

Pilihan raya kecil ini diadakan di tengah-tengah kebimbangan pertikaian mengenai isu sijil halal antara Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh dan Naib Pengerusi DAP Teresa Kok boleh menyebabkan pengundi Cina menarik sokongan daripada calon Umno.

Tiga hari lalu, Kok mengeluarkan surat tuntutan undang-undang kepada Akmal berhubung kenyataan ketua Pemuda Umno mengenai dirinya berkaitan isu sijil halal dan menuntut ganti rugi sebanyak RM25 juta.

Akmal pada awal tahun ini mengetuai boikot terhadap rangkaian KK Mart berhubung isu stokin yang memaparkan perkataan 'Allah'.

Akmal juga lantang menuntut kerajaan melakukan penilaian terperinci terhadap sistem pendidikan sekolah Cina dan Tamil.

Gambar fail, Teresa Kok selepas disoal siasat polis berhubung isu mewajibkan sijil halal Jakim untuk premis yang tidak hidang alkohol dan babi.

Semalam, Naib Pengerusi DAP Nga Kor Ming berkata isu berkenaan tidak akan menjejaskan kerjasama antara kedua parti itu.

"Paling penting kami akan menyokong calon kerajaan dan perselisihan ini akan diselesaikan oleh kepimpinan.

"Fokus kami memastikan kemenangan bagi calon kerajaan, tidak kira dari parti mana calon itu, dia mewakili kerajaan.

"DAP dan seluruh jentera parti akan bekerja tanpa henti untuk membantu," katanya.

Syed Hussien, 40 tahun, akan berdepan dengan calon PN Mohamad Haizan Jaafar, 61 tahun, dalam pertembungan satu lawan satu pada hari pengundian yang dijadualkan pada 28 September.

PRK Mahkota susulan kematian penyandangnya, Sharifah Azizah Syed Zain, 63 tahun, pada 2 Ogos, ketika allahyarhamah menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah mengesahkan terdapat 66,318 pengundi yang layak di DUN itu, dengan 61,397 pengundi biasa, 4,510 anggota tentera dan pasangan, 401 polis serta 10 pengundi tidak hadir yang tinggal di luar negara.

Pada pilihan raya negeri sebelum ini, Allahyarhamah Sharifah menang dengan majoriti 5,166 undi dalam pertandingan empat penjuru, menewaskan calon PH, PN dan Warisan.