Skip to main
Logo Malaysiakini

Sepanduk PN 'dijamin halal' tak sentuh 3R - Muhyiddin

PRK MAHKOTA | Sepanduk 'dijamin halal' yang dibawa oleh penyokong PN di luar pusat penamaan calon tidak menyentuh isu 3R (bangsa, raja, dan agama), kata Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin.

Menurutnya, ia sekadar sepanduk biasa, ketika menjawab soalan wartawan di Dewan Tunku Ibrahim Ismail, Kluang, Johor, di mana proses penamaan calon berlangsung.

“Itu sengaja kita bawa. Terserah kepada mereka untuk faham apa maksud di sebalik sepanduk itu,” katanya menjawab soalan wartawan di pusat penamaan calon di Dewan Tunku Ibrahim Ismail, Kluang, Johor.

Penyokong PN yang berkumpul di luar pusat penamaan calon kelihatan membawa papan tanda yang tertera perkataan ‘dijamin’ bersama logo halal.

Pengarah pilihan raya kecil PN Azmin Ali dilihat memberitahu penyokong gabungan itu, “calon kita dijamin halal.”

Isu pensijilan halal sebelum ini mencetuskan konstroversi apabila Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok yang bimbang cadangan mewajibkan pensijilan halal untuk perniagaan makanan yang tidak menghidangkan alkohol atau babi akan membebankan perniagaan kecil, termasuk penjaja Melayu.

Kok yang juga ahli parlimen Seputeh memberi maklum balas terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar, yang mengatakan kerajaan sedang menimbang cadangan pensijilan halal wajib tersebut.

Ia mencetuskan kemarahan dalam kalangan ahli politik konservatif, antaranya termasuk Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dan Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Salleh yang mengecam Kok.

Tiga hari lalu, Kok mengeluarkan surat tuntutan undang-undang kepada Akmal berhubung kenyataan ketua Pemuda Umno mengenai dirinya berkaitan isu sijil halal dan menuntut ganti rugi sebanyak RM25 juta.

PRK Mahkota menyaksikan pertarungan satu lawan satu calon BN Syed Hussien Syed Abdullah dan calon PN Mohd Haizan Jaafar.

Pilihan raya kecil ini diadakan susulan kematian penyandang kerusi, Allahyarhamah Sharifah Azizah Syed Zain, 63 tahun, pada 2 Ogos.

Suruhanjaya Pilihan Raya telah menetapkan 24 September dan 28 September sebagai hari pengundian awal dan hari mengundi.