Skip to main
Logo Malaysiakini

Permulaan hambar PN tawan hati pengundi Cina

PRK MAHKOTA | PN berhasrat menawan pengundi Cina menghantar mesej kepada kerajaan Madani dan menghukum mereka dalam pilihan raya.

Namun, pada majlis ceramah pertama di kawasan pengundi Cina terbesar di Mahkota malam tadi, hanya tiga orang Cina yang hadir.

Tiga individu itu sebahagian daripada kira-kira 25 hadirin majlis ceramah di Bandar Tengah, sebuah kawasan dengan dua pertiga penduduk Cina.

Salah seorang daripada tiga individu itu dipercayai ahli Gerakan kerana memakai jaket PN dan selebihnya ahli PN dan pihak media.

Azman Nasrudin

Penceramah utama, Ahli Parlimen Padang Serai Azman Nasrudin menyedari kekurangan hadirin di situ.

"Tuan-tuan dan puan-puan, saya ucap terima kasih pada penganjur yang sudi menjemput saya pada malam ini walaupun yang di hadapan saya ini tak sampai 30 orang,” katanya.

Dia menyeru pengundi Cina di DUN Mahkota supaya memberi isyarat jelas kepada kerajaan persekutuan dengan menolak calon BN pada pilihan raya kecil Mahkota.

"Orang Tionghoa kena hantar isyarat kali ini pengundian di PRK 29 Mahkota," katanya.

Azman turut menegaskan kerajaan gagal menangani isu kritikal seperti kenaikan mendadak kos sara hidup dan gaji rendah, selain menyalahgunakan Akta Hasutan 1948 terhadap pengkritik.

Calon PN Mohd Haizan Jaafar turut hadir berkempen

“Insyaallah kalau saya dipilih Insyaallah saya akan buat apa yg perlu dan patut,” kata jurulatih bola sepak itu.

Haizan berhadapan dengan Ketua Pemuda Umno Kluang, Syed Hussien Syed Abdullah, dalam pertembungan satu lawan satu dalam pilihan raya kecil Mahkota, yang bermula dengan hari penamaan calon semalam.

Suruhanjaya Pilihan Raya telah menetapkan 28 September sebagai hari mengundi, manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal adalah pada 14 dan 24 September.

Pilihan raya kecil ini diadakan susulan kematian penyandang kerusi, Allahyarhamah Sharifah Azizah Syed Zain, 63 tahun, pada 2 Ogos.

Pada pilihan raya negeri Johor 2022, Sharifah menang dengan majoriti selesa 5,166 undi berbanding calon Pakatan Harapan, Muhammad Taqiuddin Cheman.

Sharifah memperoleh 16,611 undi berbanding Taqiuddin 11,445 undi manakala calon PN, Mohamad Nor Lingan, berada di tempat ketiga dengan 7,614 undi.

[Baca berita asal]